Bantahan kadar cukai pintu baharu boleh dibuat sehingga 31 Mei - MPS

Nilai baharu cukai pintu dikongsikan seorang penduduk di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Gambar kecil: Mohamad Zin
Nilai baharu cukai pintu dikongsikan seorang penduduk di Bandar Tasik Puteri, Rawang. Gambar kecil: Mohamad Zin
A
A
A

SELAYANG - Penduduk atau pemilik yang menerima notis menyemak senarai nilaian baharu Majlis Perbandaran Selayang (MPS) diberi tempoh sehingga 31 Mei ini untuk membuat bantahan kadar cukai pintu baharu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, bantahan boleh dibuat melalui https://www.mps.gov.my dan dihantar ke Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta melalui emel bantahancukai@mps.gov.my.

Menurutnya, MPS telah mengeluarkan notis senarai nilaian baharu kepada semua pemilik pegangan dalam kawasan itu pada 1 April lalu melibatkan 230,000 pegangan.

"Notis ini dikeluarkan selaras dengan Seksyen 141, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"Notis tersebut juga memaklumkan semakan semula nilaian cukai taksiran premis/pegangan," katanya menerusi kenyataan.

Baru-baru ini pemilik kediaman di sesetengah kawasan di Selangor meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa menerima notis cukai pintu pada saat akhir dan kadarnya naik mendadak sehingga 50 peratus.

Kawasan terlibat termasuk di bawah MPS dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Mengulas lanjut, Mohamad Zin berkata, semakan semula itu adalah berdasarkan nilaian semasa menggunakan kadar sewa terkini.

Artikel Berkaitan:

"Ketika ini nilaian dibuat adalah berdasarkan nilaian yang dibuat pada 1992.

"MPS ingin memaklumkan bahawa senarai nilaian baharu ini masih di peringkat menyemak senarai nilai baharu dan mengemukakan bantahan.

Ujarnya, proses penilaian ini masih berjalan dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan Selangor.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!