Tiga remaja tidak pulang rumah selepas keluar ke kelas silat

Dua daripada tiga remaja yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar untuk mengikuti latihan silat di sebuah sekolah menengah sejak Jumaat lalu.
Dua daripada tiga remaja yang dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar untuk mengikuti latihan silat di sebuah sekolah menengah sejak Jumaat lalu.
A
A
A

RANAU - Tiga remaja perempuan dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar untuk mengikuti latihan silat di sebuah sekolah menengah di sini sejak Jumaat lalu.

Tiga remaja dikenali sebagai Valensia Mail, 15; Roxanne Abbygail Richard, 13, dan Christivy Holyen Hamdy, 13, dilaporkan keluar dari rumah mereka di Kampung Kaingaran pada jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan mereka daripada ahli keluarga salah seorang remaja tersebut pada jam 8.48 malam Isnin.

"Pihak polis menerima laporan pengadu bahawa ketiga-tiga remaja itu yang keluar pada 10 Mei lalu dengan alasan mengikuti latihan silat sebuah sekolah.

"Bagaimanapun, sehingga laporan polis dibuat, ketiga-tiga remaja belum kembali ke rumah," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut Simiun, siasatan mendapati kali terakhir mereka dilihat orang awam kira-kira jam 8.30 pagi di Pekan Ranau pada Isnin ketika turun dari sebuah bas mini berwarna putih.

"Ketiga-tiga pelajar itu kemudiannya dijemput oleh seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai menggunakan nombor plat palsu," katanya.

Sehubungan itu, Simiun berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tiga remaja tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Ranau di talian 088-875222 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!