Selangor nafi tutup pusat tahfiz persendirian

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan tuduhan pihak tertentu mendakwa proses pemutihan tahfiz persendirian yang dilaksanakan ketika ini sebagai langkah penutupan institusi berkenaan.

Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tuduhan itu bersifat tohmahan tidak berasas sesetengah pihak yang cuba memburukkan usaha murni kerajaan negeri dalam mengangkat kualiti dan taraf sekolah agama persendirian di negeri ini.

"Semua usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor telah disalah tafsir oleh sesetengah pihak sebagai cubaan untuk menghentikan usaha dakwah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri turut menafikan tuduhan berniat jahat terhadap Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Min sebagai dalang yang cuba menutup tahfiz persendirian di Selangor.

Beliau menjelaskan, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif semenjak tahun 2019 bagi menyediakan garis panduan pemutihan sekolah agama (tahfiz) persendirian.

Menurutnya, usaha itu selari dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang gusar terhadap peningkatan kejadian malang terutama selepas tragedi kebakaran melanda sebuah sekolah agama persendirian meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada tahun 2018.

"Garis panduan yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor pada 21 Disember 2020 dan mula dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021," kata beliau.

Katanya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah mengarahkan sebuah Jawatankuasa Pasukan Petugas ditubuhkan bagi membantu menyelaras proses pemutihan kesemua Sekolah Agama Persendirian di Negeri Selangor.

"Jawatankuasa ini telah bersetuju memperuntukkan masa selama dua tahun (bermula) 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2022 kepada kesemua sekolah agama persendirian di Selangor untuk memenuhi kesemua syarat yang telah ditetapkan di dalam garis panduan berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, hanya 416 sekolah agama persendirian yang telah memulakan proses pemutihan memohon agar tempoh masa tersebut untuk dilanjutkan.

Katanya, jawatankuasa terbabit telah mempertimbangkan permohonan tersebut dengan memperuntukkan tambahan tempoh tiga tahun bagi program pemutihan untuk diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

"Jawatankuasa ini juga telah memulakan langkah penambahbaikan garis panduan sedia ada untuk dipermudahkan,.

"Melalui langkah tersebut maka hanya syarat minima dikenakan kepada pengusaha sekolah agama persendirian bagi menyelesaikan proses pemutihan," tambah beliau.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut mendapat dokongan daripada Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) yang dianggotai oleh 478 institusi sekolah agama persendirian.

"Usaha kerajaan negeri ini mampu mengangkat martabat sekolah agama persendirian dan diyakini memberi manfaat kepada pelajar dan ibu bapa di Selangor," jelasnya.