MOSTI fokus latihan, perolehan kepakaran vaksin dari luar negara

Dr Adham Baba
Dr Adham Baba
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan sedang memberikan fokus terhadap latihan, rundingan serta perolehan kepakaran vaksin daripada negara atau syarikat farmaseutikal luar negara dalam usaha untuk membangunkan vaksin negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, antara usaha dilakukan adalah pelaksanaan penerokaan kerjasama pembangunan mRNA bersama University of Chulalongkorn, Thailand dan pembangunan vaksin leptospirosis dengan Imperial College London (ICL).

“Kerjasama latihan pelbagai aspek pengembangan vaksin, termasuk pemprosesan ‘upstream’ dan ‘downstream’, kawalan kualiti dan jaminan kualiti serta sokongan peraturan untuk penyediaan kajian klinikal turut dilaksanakan bersama Baylor College of Medicine iaitu Pusat Perkembangan Vaksin Hospital Kanak-kanak Texas, Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Senator Datuk Kesavadas A Achyuthan Nair di Dewan Negara pada Selasa mengenai kerjasama penyelidikan antara industri tempatan serta luar negara dalam pembangunan vaksin negara.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, meskipun kementeriannya terus menggalakkan pemain tempatan untuk terlibat dalam pengeluaran vaksin Covid-19, namun kepakaran dan teknologi sedia ada dalam negara perlu dipertingkatkan melalui kerjasama pengeluar vaksin antarabangsa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai enam ketua penyelidik terdiri daripada saintis dan pakar tempatan terlibat dalam proses penghasilan vaksin Covid-19 yang dilaksanakan pada fasa awal Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).

Menurutnya, kesemua pakar tersebut merupakan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia; Universiti Putra Malaysia, Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Universiti Malaya, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Cancer Research Malaysia (CRM).

Katanya, kementeriannya menerusi geran MOSTI Combating Covid-19 Fund (MCCOF) juga setakat ini telah memberikan peruntukan sebanyak RM4.9 juta bagi membiayai dua projek tempatan berkaitan pembangunan vaksin virus tersebut di bawah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai persoalan insentif diberikan kerajaan kepada pemain industri berkaitan pengeluaran dibangkitkan oleh Senator Datuk John Ambrose, Dr Adham berkata, kerajaan menawarkan insentif cukai seperti pengecualian cukai taraf perintis dan potongan cukai pendapatan kepada syarikat yang menghasilkan barangan farmaseutikal.

Beliau berkata, buat masa ini, terdapat dua syarikat tempatan terdiri daripada Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd dan Syarikat Solution Biologics Sdn Bhd yang terlibat dalam rantaian pembangunan serta pengeluaran vaksin iaitu aktiviti ‘fill & finish’ vaksin Covid-19.

Mengenai perkembangan terkini PPVN, Dr Adham berkata, terdapat tiga calon vaksin yang sedang dibangunkan dengan yang pertama iaitu dua teknologi vaksin Covid-19 mRNA dan vaksin virus ternyahaktif yang dilaksanakan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan peruntukan berjumlah RM3.5 juta.

“Pada masa ini, kedua-dua kajian vaksin tersebut masih di peringkat awal pembangunan iaitu bukti konsep (Proof of Concept). Kedua, vaksin kolera yang dibangunkan hasil kerjasama antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST).

“Pada ketika ini MOSTI turut membiayai projek ini sebanyak RM10.5 juta yang bertajuk Development of Mucosal/Oral/Subunit Vaccines Against Cholera, Tuberculosis and Covid-19.

“Ketiga, vaksin kepala dan leher yang dibangunkan oleh Cancer Research Malaysia (CRM) bertajuk Preclinical Evaluation of A Therapeutic Cancer Vaccine for The Treatment of Head and Neck Cancer berjumlah RM3 juta yang dibiayai oleh MOSTI,” jelasnya.