Kerajaan teliti gubal undang-undang baharu dalam sektor gig

Awang Hashim - Foto fail Bernama
Awang Hashim - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedang meneliti keperluan menggubal satu perundangan baharu khusus bagi melindungi dan menjaga kebajikan serta keselamatan pekerja dalam sektor gig.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, KSM masih mengadakan siri sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti penyedia perkhidmatan dan pemain industri bagi melihat situasi pekerjaan gig secara menyeluruh serta untuk mendapatkan pandangan semua pihak berhubung keperluan pekerja dalam sektor berkenaan.

"Dalam Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2021-2025 (OSHMP 2025), kedua-dua isu ini telah ada teras strategik khusus untuk menanganinya.

"Satu program khusus di bawah teras strategik ini adalah program memantapkan kesedaran dan kepekaan amalan keselamatan dan kesihatan dalam perkhidmatan e-hailing termasuklah p-hailing," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Isnin.

Awang berkata, program berkenaan dilaksanakan pelbagai agensi iaitu KSM, Kementerian Pengangkutan, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan.

Justeru beliau berkata, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) terjaga, libat urus bersama persatuan berkaitan p-hailing dan syarikat penyedia perkhidmatan telah dijalankan, dengan satu panduan amalan KKP sedang digubal untuk dipatuhi semua pekerja yang terlibat bagi mengelakkan risiko kemalangan jalan raya dan kesihatan.

Dalam pada itu, Awang berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melaksanakan 243,000 aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga November tahun ini dengan 168 kes pendakwaan selesai dijalankan melibatkan penalti RM1.90 juta manakala 424 kompaun dikeluarkan dengan jumlah kompaun RM1.44 juta.

Mengenai cadangan kenaikan penalti, beliau berkata mekanisme penetapan kenaikan penalti atau denda adalah selaras dengan praktis yang dilaksanakan di negara-negara maju selain merujuk kepada akta-akta lain dan maklum balas daripada orang awam, NGO dan kesatuan sekerja.

Artikel Berkaitan:

Rang undang-undang itu adalah untuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang mengandungi 55 fasal merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pengguguran dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada.

Ia kemudiannya diluluskan dengan majoriti ahli Dewan Negara bersetuju selepas dibahas 13 senator.Selain itu, Dewan Negara meluluskan Rang Undang-undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 yang turut dibentangkan Awang bagi memansuhkan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139) selepas dibahas tiga ahli Dewan Negara. - Bernama