Moratorium tidak jejaskan sumber bekalan kayu negara

Kelulusan pembangunan ladang hutan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang yang sedia ada, tidak terlibat dengan pelaksanaan moratorium ini. - Foto 123rf
Kelulusan pembangunan ladang hutan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang yang sedia ada, tidak terlibat dengan pelaksanaan moratorium ini. - Foto 123rf
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan tidak akan memberikan kesan terhadap bekalan bahan mentah daripada sumber tempatan bagi keperluan industri pemprosesan kayu, menurut Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA).

KeTSA dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, keputusan moratorium itu hanya melibatkan baki kelulusan yang belum diberikan kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang oleh kerajaan negeri.

"Kelulusan pembangunan ladang hutan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri kepada mana-mana syarikat atau pengusaha ladang yang sedia ada, tidak terlibat dengan pelaksanaan moratorium ini," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember lepas bersetuju secara prinsip dengan pelaksanaan moratorium tersebut selama 15 tahun dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, terdapat 127,050.25 hektar Zon Pembangunan Ladang Hutan dalam HSK yang belum diluluskan kepada mana-mana syarikat.

Menurut KeTSA, berdasarkan rekod, Catuan Tebangan Tahunan (CTT) daripada hutan pengeluaran sedia ada dalam HSK dan kawasan-kawasan pembangunan dalam tanah milik dan tanah kerajaan dijangka mampu mengeluarkan secara purata 4.1 juta meter padu (m³) bekalan bahan mentah setahun.

“Ini belum mengambil kira kawasan ladang hutan yang telah ditanam seluas 113,039.50 hektar dalam HSK yang dianggarkan mampu mengeluarkan bekalan bahan mentah sebanyak 1.5 juta m³ setahun.

Menurut KeTSA, purata keperluan kayu balak di Semenanjung Malaysia adalah sebanyak 4.2 juta m³ setahun.

Artikel Berkaitan:

KeTSA dalam pada itu memaklumkan pihaknya akan mengadakan perundingan secara terperinci dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mencapai kata sepakat dalam menjayakan keputusan yang telah dipersetujui dalam MTN ke-79 itu.

“KeTSA minta kerjasama kerajaan-kerajaan negeri memastikan pengusaha ladang menyegerakan penanaman di kawasan ladang hutan yang telah diluluskan dan dibersihkan. Kawasan yang telah dibersihkan tidak wajar dibiarkan kosong bagi mengelakkan kemerosotan ekosistem dan risiko berlakunya bencana alam,” menurut kenyataan itu. - Bernama