Suami isteri ditahan terlibat sindiket edar ganja

Mohd Radzi (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan ketulan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas pada Jumaat.
Mohd Radzi (dua dari kanan) bersama pegawai penyiasat menunjukkan ketulan ganja yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas pada Jumaat.
A
A
A

KEPALA BATAS - Empat individu termasuk pasangan suami isteri ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran ganja dengan rampasan 107 kilogram (kg) bahan terlarang itu pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan berasingan di antara jam 8.40 malam hingga 12.45 pagi.

Menurutnya, dalam serbuan pertama di kawasan Sungai Dua, Butterworth, polis menahan dua lelaki yang sedang menunggang motosikal sebelum menemukan lima ketulan mampat dadah jenis ganja seberat lima kilogram.

"Siasatan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Cempaka Indah di Bukit Selambau, Sungai Petani dan berjaya menangkap seorang wanita yang merupakan isteri kepada suspek pertama.

"Hasil serbuan itu, kita menemui empat guni yang mengandungi 100 ketulan mampat ganja dengan anggaran berat 102 kg di dalam rumah terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini pada Jumaat.

Mohd Radzi berkata, pihaknya kemudian menahan seorang lagi suspek lelaki di kawasan Sungai Ara, Bayan Lepas yang merupakan adik kepada suspek wanita yang ditangkap di Bukit Selambau, Sungai Petani.

Beliau berkata, hasil siasatan dilakukan mendapati sindiket ini bergiat aktif sejak Jun lalu dan mengedar dadah berkenaan untuk pasaran tempatan.

Kata Mohd Radzi, selain dadah pihaknya juga menyita sejumlah wang tunai, sebuah kereta dan dua buah motosikal daripada kesemua suspek yang nilai keseluruhannya berjumlah RM340,500.

Artikel Berkaitan:

"Dua suspek tangkapan pertama ditahan reman tujuh hari manakala suspek ketiga dan keempat ditahan reman selama lima hari untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan air kencing dilakukan ke atas mereka mendapati hanya seorang sahaja positif methamphetamine manakala semakan dibuat mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod lampau atas kesalahan dadah," katanya.

Sementara itu dalam kes berasingan, Mohd Radzi berkata, seorang lelaki berusia 37 tahun ditangkap di Jalan Kuala Muda, Penaga, di sini awal pagi Jumaat juga dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis ganja.

Menurutnya, ketika ditahan polis menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 10.277 kg yang bernilai RM25,693.

"Suspek dipercayai bergiat aktif dengan aktiviti pengedaran dadah sejak Jun tahun ini dan kini direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan THC malah semakan dibuat mendapati dia mempunyai tiga rekod lampau bersabit kesalahan dadah," katanya.

Mohd Radzi berkata, kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.