RUU IPCC di bawa ke Parlimen penggal ini

KDN memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dibawa di sidang Parlimen pada penggal ini.Gambar hiasan
KDN memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dibawa di sidang Parlimen pada penggal ini.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan Rang Undang-undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dibawa di sidang Parlimen pada penggal ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, jaminan itu selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan RUU itu segera dibentangkan.

“Setakat ini memang itu perancangan kerajaan iaitu mengemukakan RUU ini pada penggal ini. Setakat ini tiada perubahan dibuat,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang mahu tahu apakah kerajaan akan membawa RUU IPCC ke Parlimen pada penggal ini.

Sementara itu, menjawab soalan asal Salahuddin yang mahu kementeriannya menyatakan status RUU Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis, Jonathan menjelaskan, RUU itu telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Parlimen oleh mantan Menteri Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri pada 18 Julai 2019.

Bagaimanapun katanya, susulan pertukaran Kerajaan pada 1 Mac 2020, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 1 April 2020 telah bersetuju supaya tanggungjawab RUU IPCMC diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dibentangkan semula di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

“Susulan dari keputusan MJM tersebut, KDN melalui Jawatankuasa Teknikal telah menjalankan kajian terperinci bagi tujuan penggubalan RUU yang baharu bagi menggantikan RUU IPCMC. RUU yang baharu ini dinamakan semula sebagai RUU IPCC.

“RUU IPCC telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 di Dewan Rakyat. Namun bacaan kali kedua yang dijadualkan pada 27 Ogos 2020 telah ditangguhkan dan akan dibaca di sidang Parlimen pada penggal ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!