25 kes positif Covid-19 di Parlimen mungkin varian Delta

Sebanyak 25 kes positif Covid-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen pada Isnin berkemungkinan besar varian Delta.
Sebanyak 25 kes positif Covid-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen pada Isnin berkemungkinan besar varian Delta.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 25 kes positif Covid-19 yang dikesan melalui saringan berkala di Parlimen pada Isnin berkemungkinan besar varian Delta.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua sampel dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay.

Menurutnya, bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan jujukan genom dan masih menunggu keputusan penuh.

"Kes yang dikenal pasti itu mempunyai kadar kebolehjangkitan dengan nilai ambang RT PCR antara 13.70 hingga 36.11.

"Pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang melakukan siasatan dan pengesanan kontak rapat serta penilaian risiko bagi mengenal pasti punca jangkitan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, sepanjang Dewan Rakyat bersidang bermula 27 Oktober lalu, sebanyak 84 kes positif Covid-19 direkodkan.

"Daripada jumlah itu, 18 kes telah dikenal pasti hasil saringan pra persidangan Dewan Rakyat iaitu 22 hingga 25 Oktober," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tindakan kawalan dan pencegahan telah dijalankan di mana kesemua kes telah diasingkan dan hasil siasatan mendapati kes-kes tersebut tiada kaitan epidemiologi serta tiada kluster dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

"Semasa persidangan Dewan Rakyat pula, sebanyak 41 kes dilaporkan bagi tempoh sama dan kes tersebut telah diasingkan dengan segera serta tiada kluster dilaporkan," katanya.

Tambahnya, individu yang bergejala dinasihatkan tidak hadir ke Parlimen dan menjalani ujian saringan Covid-19.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!