Harga sayur naik hampir satu kali ganda di Johor Bahru

Orang ramai terus membeli sayur dan barang keperluan harian walaupun harganya naik hampir satu kali ganda di Pasar Basah Kipmall Masai, Johor Bahru, pada Jumaat
Orang ramai terus membeli sayur dan barang keperluan harian walaupun harganya naik hampir satu kali ganda di Pasar Basah Kipmall Masai, Johor Bahru, pada Jumaat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Harga beberapa jenis sayuran di Johor Bahru terutama yang diimport naik hampir satu kali ganda minggu ini.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Basah Kipmall Masai mendapati, kenaikan harga berlaku dari RM2 hingga RM12 mengikut jenis sayur antaranya kubis, kubis bunga, sawi pendek, sawi, brokoli dan kacang buncis.

Menurut seorang peniaga, Saiful Endut, 32, harga sayur naik contohnya kubis kini berharga RM5 berbanding RM3.50 sekilogram sebelum ini selain kacang buncis kini RM12 berbanding RM8 sebelum ini.

"Harga brokoli pula naik daripada RM12 berbanding RM8 sebelum ini selain cili hijau RM13 berbanding RM10 dan kailan kini RM11 berbanding RM7 atau RM8 sebelum ini. Semua yang naik adalah sayur-sayur import.

"Rata-rata peniaga tidak meletakkan harga baharu kerana bimbang pelanggan akan terkejut dan tidak jadi beli. Peniaga harapkan minggu depan harga akan kembali kepada asal dan tidak naik lagi," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Seorang lagi peniaga, Hasnah Mohamad, 52, berkata, pembekal sayur memberi alasan faktor cuaca dan kekurangan bekalan sayur-sayuran dari Cameron Highlands menjadi punca kenaikan harga naik antara 100 dan 200 peratus.

"Hanya sayur kampung antaranya pucuk ubi dan pucuk manis tidak naik harga. Peniaga ketika ini tiada pilihan selain terpaksa mendapatkan bekalan sayur-sayuran dengan harga yang tinggi.

"Ada juga sayur-sayuran yang diperoleh dari ladang atau kebun tempatan juga naik harga kerana kos baja dan racun. Apabila harga naik peniaga akan menjadi mangsa pelanggan yang tidak puas hati kerana harga naik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kata Hasnah, apabila berlaku kenaikan harga barang, pihak berkaitan akan segera melakukan siasatan dan turun padang memantau keadaan sebelum melakukan kawalan harga terhadap pembekal.

"Semasa menjelang hari perayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh melakukan kawalan harga tetapi pada hari-hari biasa atau ada kenaikan harga seperti ini, tiada kawalan harga dilakukan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Masrudi Abdul Rahman berkata, KPDNHEP dan pihak berkaitan sedang melakukan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Katanya, isu kenaikan harga itu perlu ditangani segera susulan sektor ekonomi baru dibuka di negeri yang mendapat permintaan tinggi dan penyelesaian jangka panjang perlu dilakukan.

"Bagi mengatasi masalah ini sektor pertanian dan penternakan perlu diberi keutamaan selepas ini untuk menjadi pengeluar makanan. Jika ada masalah tanah, Felda atau kerajaan negeri boleh menyediakan tanah untuk tujuan itu," katanya.