Harga ayam naik di beberapa negeri

Peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam kerana mereka mendapat harga yang tinggi daripada pembekal bahan mentah itu.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam kerana mereka mendapat harga yang tinggi daripada pembekal bahan mentah itu.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

PASIR GUDANG - Beberapa peniaga di sekitar bandar raya ini terpaksa menjual ayam pada harga RM8.70 sekilogram ketika ini kerana mereka mendapat harga yang tinggi daripada pembekal bahan mentah itu.

Peniaga kedai runcit di pekan Kota Masai, Rahmad Abdullah, 34, berkata, terpaksa menjual pada harga itu berbeza RM7.39 minggu lalu kerana tidak mahu rugi selain memperoleh sedikit keuntungan.

"Peniaga di pekan ini mendapat bekalan daripada pembekal yang berbeza-beza. Saya mendapat bekalan ayam, ikan dan sayur daripada pembekal yang berbeza jadi susah untuk mendapatkan harga murah.

"Saya bukan suka-suka jual tidak mengikut harga ditetapkan tetapi kita bergantung kepada pembekal.

Dalam sehari kita perlu dapatkan 30 sehingga 50 ekor bekalan ayam," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Dia berkata, biasanya bekalan ayam tersebut habis walaupun harganya berbeza mengikut harga borong yang diberikan pembekal.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Shafie, 40, berkata, walaupun harga tidak menentu, pelanggan tetap membelinya kerana bahan mentah itu sudah menjadi satu keperluan.

Artikel Berkaitan:

Shafie memotong ayam yang dijual pada harga RM8.70 sekilogram di pekan Kota Masai, Pasir Gudang, pada Isnin.
Shafie memotong ayam yang dijual pada harga RM8.70 sekilogram di pekan Kota Masai, Pasir Gudang, pada Isnin.

"Setakat ini tiada lagi pelanggan yang merungut kerana ayam memang sentiasa dicari pelanggan.

Sebelum ini ada peniaga di pekan ini yang menjual ayam sehingga RM9 sekilogram pada minggu lepas kerana mendapat harga mahal daripada pembekal," katanya.

Bagi seorang lagi peniaga kedai runcit, Abdul Kadir Mahmud, 50, harga ayam tidak boleh dinaikkan sesuka hati apatah lagi terlalu banyak persaingan di pekan tersebut kerana terdapat pasar raya dan pasar mini menjual bahan mentah itu dengan harga lebih murah.

"Kita pun tidak tahu minggu depan harga macam mana lagi. Harap-harap tidaklah naik sampai kena jual RM12 seperti yang berlaku sebelum ini di beberapa tempat, bukan sahaja peniaga susah tapi kasihan kepada pelanggan," katanya.

'Harga meningkat empat hari sebelum mengundi'

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di KUALA KRAI mendapati harga ayam di negeri ini meningkat sejak beberapa hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan.

Peniaga ayam di Kok Lanas, Danial Izani, 30, berkata, harga ayam di sekitar Kota Bharu kini meningkat sekitar RM1.50 sekilogram.

"Harga meningkat empat hari sebelum mengundi. Saya menjual ayam sebelum ini pada harga RM7.50 sekilogram dan kini dijual sekitar RM8.80 sekilogram," katanya.

Danial memotong ayam yang dipesan pelanggan.
Danial memotong ayam yang dipesan pelanggan.

Bagaimanapun ujarnya, sambutan terhadap bahan basah itu tetap menggalakkan dan pelanggan tidak banyak bertanya mengenai harga berkenaan.

Danial memberitahu, dia mampu menjual sebanyak 30 ekor ayam dalam sehari secara runcit.

Menurut peniaga ayam di Machang, Muhamad Hamizad Azmi, 24, harga jualannya kini ialah RM8.30 sekilogram berbanding tiga hari lepas iaitu RM7.20 sekilogram.

"Dua minggu lepas harga ayam lebih tinggi iaitu mencecah sehingga RM9 sekilogram," katanya.

Bagi Muhd Rohaizid Amirul Mohd Yuti, 23, yang menjual ayam di sebuah pasar di Kampung Batu Balai, Kuala Krai pula terpaksa menjual ayam pada harga RM8.20 sekilogram.

Dia yang mengambil bekalan di Kota Bharu dan Tanah Merah mendakwa, dua hari sebelum mengundi harga naik mendadak dan kini mencecah pada harga berkenaan.

"Sebelum ini kami menjual ayam pada harga RM6.50 tetapi kini mencecah RM8.20," jelasnya.

Peniaga itu berkata, dia terpaksa menjual pada harga berkenaan kerana ayam yang diambil dengan pemborong juga tinggi berbanding sebelum ini.

Peniaga akui harga tidak menentu sejak beberapa bulan lalu

Sementara itu di GEORGETOWN, harga ayam segar di pasaran naik sehingga RM1.50 sejak seminggu lalu menjadikan bahan mentah itu berharga antara RM9.40 hingga RM10.90.

Peniaga ayam, Mohd Hafizi Mat Saad, 42 berkata, harga tersebut tidak menentu sejak beberapa bulan lalu menyebabkan peniaga berdepan masalah untuk meletakkan harga jualan kepada pembeli.

"Sebenarnya harga ayam naik turun sejak beberapa bulan lalu.

Awal bulan ini, turun tetapi beberapa hari sebelum pilihan raya, harga naik balik. Bagaimanapun, kami tidak dibenarkan memasukkan harga tersebut ke dalam harga siling sebaliknya ke dalam harga caj perkhidmatan.

"Harga siling yang ditetapkan kerajaan adalah RM9.40 dan ia kekal sehingga hari ini. Harga ini perlu dipaparkan pada tanda harga, tidak boleh ubah sehingga kerajaan keluarkan arahan.

"Bagaimanapun, sekiranya harga ayam naik, kami akan naikkan pada harga caj perkhidmatan. Setakat ini, caj perkhidmatan RM1.10, jika naik, maka caj ini pun akan naik," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Tambah Mohd Hafizi, ketika ini, harga caj perkhidmatan akan bertukar-tukar mengikut harga semasa ayam segar.

"Minggu lepas kami jual sekilo RM9.40, tiada caj perkhidmatan kerana harga ayam turun, tetapi dua tiga hari sebelum pilihan raya, naik balik macam biasa, jadi kami terpaksa jual RM10.50.

"Memang tinggi kerana kami dapat bekalan pun, modal tinggi. Pernah peniaga seperti kami dapat RM8 hingga RM9 sekilogram, sebab itu kami tak boleh turunkan harga kerana modal pun tinggi," jelasnya.

Ulasnya, kenaikan harga ayam itu dikatakan kerana kenaikan harga makanan ayam di ladang.

Peniaga ayam di Pasar Awam Bayan Baru, Muhammad Shaffi Yacob, 30-an, berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa harga bahan mentah itu akan naik lagi dalam tempoh terdekat ini.

"Sekarang ini, rata-rata peniaga ual dengan harga RM10 ke atas. Sekarang harga naik sehingga RM1.50, maka kami jual dengan harga RM10.90.

"Saya mendapat tahu, harga ini akan naik lagi dalam beberapa hari atau minggu lagi. Harga tersebut akan dimasukkan ke dalam caj perkhidmatan. Oleh itu, harga akan jadi lebih tinggi dari sekarang iaitu RM10.90," katanya.

Peniaga dakwa dapat ayam saiz kecil

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di TEMERLOH pada Isnin mendapati harga runcit ayam bersih dijual pada harga RM11 sekilogram.

Beberapa peniaga di Pasar Awam Mentakab ketika ditemui memberitahu, kenaikan harga bahan mentah itu mula berlaku sejak beberapa hari lalu.

"Memang harga sebelum ini turun, ketika itu bekalan lebih di pasaran sekarang ini harga kembali naik," kata peniaga terlibat.

Seorang lagi peniaga yang enggan dikenali turut mendakwa, banyak mendapat bekalan saiz ayam yang kecil tidak sampai sekilogram berbanding sebelum ini.

Tinjauan di sebuah pasar raya di sini juga mendapati ayam dijual dengan harga RM9.40 sekilogram dan RM9.90 bagi potong bersih.

Seorang pekerja mengakui kenaikan harga berlaku sejak beberapa minggu lalu berbanding RM8.80 sebelum ini.

Sementara itu, bagi seorang peniaga nasi kukus ayam berempah, Nor Akmar Ahmad Bihauddin, 45, kenaikan harga itu mula dikesan pada Khamis lalu.

"Sebelum ini dapat ayam dengan harga RM8.80, kemudian RM9.80 dan terkini RM10.50 sekilogram.

"Tiada alasan diberikan berhubung kenaikan harga ayam ini dan sebagai peniaga kecil macam saya, terpaksa akur walaupun dihimpit dengan pelbagai kenaikan kos barangan," ujar peniaga tersebut.