3,200 sukarelawan bantu banjir di Terengganu

Wan Sukairi (kiri) berkata sesuatu kepada pengusaha Pak Awi Nasi Ayam, di sini pada Jumaat.
Wan Sukairi (kiri) berkata sesuatu kepada pengusaha Pak Awi Nasi Ayam, di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seramai 3,200 sukarelawan dari pelbagai pertubuhan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) di Terengganu kini bersedia turun padang menghulurkan bantuan apabila berlaku banjir di negeri ini.

Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sukarelawan itu berfungsi membantu meringankan tugas petugas banjir terutama di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Satu mesyuarat bersama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri, Hanafiah Mat telah diadakan baru-baru ini bersama wakil-wakil NGO dan kesimpulannya sukarelawan kita sudah bersedia membantu apabila banjir.

“Kita mempunyai kira-kira 400 sukarelawan di setiap lapan daerah dan tumpuan diberikan di kawasan masing-masing supaya mangsa banjir dapat dibantu dengan sebaik mungkin lebih-lebih lagi kita masih dalam situasi pandemik Covid-19.

“Namun jika lokasi itu tidak berdepan banjir, mereka akan dihantar ke kawasan lain yang terjejas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pembukaan Rasmi Restoran Pak Awi Nasi Ayam di Jalan Sultan Sulaiman pada Jumaat.

Terengganu sebelum ini dijangka mula dilanda banjir hujung Oktober lalu berikutan taburan hujan lebat luar biasa yang diramal berlaku bermula akhir bulan itu hingga Disember.

Situasi berkenaan biasanya berlaku apabila Terengganu mula memasuki musim peralihan Monsun Timur Laut setiap tahun menyebabkan kawasan rendah terutama di tepi sungai berisiko dinaiki air.

Mengulas lanjut Wan Sukairi berkata, pihaknya telah mengenalpasti lokasi berisiko banjir di setiap daerah negeri ini dan persediaan rapi menghadapi bencana telah dibuat di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, selain persediaan dari segi peralatan dan alat telekomunikasi pihaknya turut mewajibkan semua sukarelawan terlibat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelak penularan Covid-19.

“Walaupun kita sukarelawan bertugas membantu mangsa bencana, namun SOP tetap kita jaga. Dalam soal ini kita akan mendapatkan maklumat lebih jelas dari Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) agar SOP ini lebih selaras,” ujarnya.