Lapor PBT jika sewa tapak tinggi

Hong Pin (kanan) dan Boon Tsong (kiri).
Hong Pin (kanan) dan Boon Tsong (kiri).
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak pernah mengenakan sebarang syarat atau panduan kepada penganjur untuk caj lain seperti penyediaan kawalan keselamatan ke atas kadar sewa tapak pasar lambak.

Exco Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi negeri, Tan Hong Pin berkata, berikutan itu, Kerajaan Negeri menggesa semua peniaga yang dikenakan bayaran sewa yang tinggi diminta membuat aduan kepada PBT.

Menurutnya, tujuannya supaya PBT dapat mengkaji kes-kes tersebut dan mengambil tindakan terhadap penganjur.

"Untuk makluman, pengurusan pasar lambak di dalam kawasan PBT adalah diuruskan oleh PBT sendiri atau melantik pihak luar sebagai penganjur yang bertujuan untuk memudahkan PBT mengawal dan memantau peniaga di lokasi.

"Bagi PBT yang menganjurkan sendiri, setiap penjaja pasar lambak hanya dikenakan caj pelupusan sampah sebanyak RM1 dan caj sewa tapak sebanyak RM2.

"Manakala, PBT yang melantik pihak luar sebagai penganjur, kelulusan bagi penganjuran pasar malam juga membenarkan kutipan caj pengurusan sampah yang maksimum dan munasabah yang boleh dikenakan terhadap penjaja," katanya.

Hong Pin (PH-Skudai) berkata demikian ketika menjawab soalan Tee Boon Tsong (PH-Senai) tentang rasional penganjur mengenakan bayaran berlebihan terhadap penjaja di pasar lambak ketika persidangan Dewan Negeri Johor ke-14 di Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, semua PBT akan mengkaji semula kontrak yang diberikan kepada penganjur dan mengemas kini data pada tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

"PBT juga akan menetapkan kadar maksimum untuk setiap pasar lambak dan pihak penganjur perlu mengikut harga yang ditetapkan.

"Sesiapa yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh PBT, kontrak pengurusan penganjur akan dibatalkan," katanya.