X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

Sungai Masai dicemari sisa putih

Tompokan putih yang didakwa sisa buangan mula memenuhi kawasan sekitar jeti Kampung Pasir Gudang Baru. (Gambar kecil: Hassan, Jamil, Alimman dan Dollah)
A
A

PASIR GUDANG - Kira-kira 250 nelayan pesisir pantai di Kampung Pasir Gudang Baru di sini mengalami kesukaran untuk turun ke laut akibat pencemaran sisa buangan yang tidak diketahui punca.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati keadaan di sekitar jeti mula dipenuhi tompokan putih selain manakala nelayan mengambil pendekatan tidak turun ke laut kerana gusar sisa tidak diketahui itu boleh merosakkan peralatan mereka.

Ketua Kampung Pasir Gudang Baru Mukim Plentong, Daud Saad berkata, beliau menerima maklumat sisa itu wujud sejak empat hari lalu.

“Nelayan mendakwa air mula menunjukkan tompokan putih dan keadaan ini semakin membimbangkan setiap hari dengan permukaan sudah diselaputi lapisan putih.

“Kita harap keadaan ini tidak begitu serius tetapi sebelum ini penduduk terpaksa menanggung akibat apabila berwarna hitam kerana masalah kumbahan. Penduduk baru sahaja lega tetapi masalah lain pula dialami,” katanya ketika ditemui di Jeti Nelayan Kampung Baru Pasir Gudang di sini pada Isnin.

Seorang nelayan, Hassan Mohamad, 60 berkata, sudah tidak turun ke laut sejak empat hari lalu kerana keadaan tersebut menyukarkan pergerakan dan meninggalkan kesan di dasar bot.

“Kita tidak tahu kesannya jika melekat pada enjin bot, Lagipun jajaran tompokan putih ini mencapai sehingga dua kilometer.

Hassan memberitahu, dia tidak pernah melihat kotoran seperti itu sejak 40 tahun menjadi nelayan malah permukaan laut kelihatan diselaputi bahan kimia dan tidak mudah dicuci.

Seorang lagi nelayan, Alimman Jamal, 48, mahu agensi berkaitan mengambil tindakan segera kerana penduduk terutama nelayan sukar mencari rezeki.

“Ini bukan hanya kerana pencemaran tetapi kami akan mengalami kerugian jika peralatan rosak. Sekarang semua bukan murah dan ia akan jadi beban.

“Kami boleh mencuci bot tetapi kos mengganti jaring atau pukat lebih tinggi jika rosak terutama membabitkan peralatan berjenama,” katanya.

Penduduk, Jamil Hussein, 50 pula berharap tindakan segera dapat diambil kerana perkara itu turut membabitkan keselamatan penduduk.

“Kita sebenar risau juga sebab tidak tahu bahan apa. Jadi perlu tahu keputusan cepat sama ada memudaratkan atau sebaliknya.

“Sebahagian besar penduduk di sini adalah nelayan yang menjadi punca pencarian mereka tetapi paling penting ialah hasil tangkapan mereka selamat untuk dimakan atau sebaliknya,” katanya.

Mohd Azizi
Mohd Azizi

Sementara itu, Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting 2, Mohd Azizi Mohmad berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkaitan dan laporan juga telah disampaikan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Saya sendiri juga telah tengok keadaan ini dan laporkan kepada pihak berkaitan. Kita tidak mahu perkara ini berlarutan kerana di sini juga bukan semata-mata perkampungan nelayan sahaja.

“Kawasan ini juga menjadi tarikan pelancongan ke Johor terutama kaki pancing ketika Pelan Pemulihan Negera (PPN) Fasa Empat yang diumumkan. Jadi kita mahukan kawasan selamat dan bersih untuk dikunjungi,” katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!