Penolong pegawai, tiga anggota Rela tak mengaku palsukan tuntutan

Sahrol Miza (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar daripada Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
Sahrol Miza (kiri) diiringi pegawai SPRM keluar daripada Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiga anggota dan seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tidak mengaku bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM59,520 semasa bertugas di Kulim dua tahun lalu.

Tertuduh, Pembantu Pertahanan Awam KP19, Mohd Khairul Anuar Maliki, 32, dan Idrus Zakaria, 47, Pembantu Pertahanan Awam KP22, Siti Munirah Abdul Rahim, 35, serta Penolong Pegawai Pertahanan Awam KP32, Sahrol Miza Samad, 44, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Harmi Thamri Bin Mohamad @ Shaharudin di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin.

Menurut pertuduhan yang dibacakan bersama kepada mereka, kesalahan dilakukan di Pejabat Rela Negeri Kedah, Kompleks Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar pada 10 September 2019.

Mereka telah mengemukakan lampiran A iaitu pengakuan baucar tuntutan elaun kepada anggota-anggota Rela bagi penugasan rondaan keselamatan sempena bulan kemerdekaan 2019 di Kulim.

Dua lagi dokumen disertakan iaitu lampiran B iaitu daftar kedatangan anggota Rela dan lampiran C iaitu tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan.

Dokumen tersebut mengandungi butiran palsu berkenaan jumlah pembayaran RM59,520 kononnya anggota-anggota Rela telah menjalankan penugasan rondaan tersebut namun penugasan tidak dilaksanakan seperti dimaksudkan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, semua tertuduh boleh dipenjara selama 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Semua tertuduh yang masih bertugas bersama Rela diwakili peguam Burhanudeen Abdul Wahid dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Tan Siew Ping.

Harmi Thamri kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan kes akan disebut semula pada 27 Disember depan bagi serahan dokumen berkaitan.