5,162 kes baharu positif Covid-19 hari ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tiada kluster baharu dilaporkan, namun jumlah kes baharu positif Covid-19 dalam negara kekal melebihi paras 5,000 dengan sebanyak 5,162 kes dilaporkan pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 5,162 kes jangkitan baharu pada Ahad, 104 kes atau dua peratus adalah Kategori Tiga, Empat dan Lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan) manakala 5,058 kes atau 98 peratus lagi adalah Kategori Satu dan Dua (tidak bergejala dan bergejala ringan)

"Sebanyak 524 kes kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 265 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 5,019 kes sembuh turut dicatatkan menjadikan kumulatif kes yang pulih dari jangkitan itu kini 2,451,216.

Nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara pula adalah 1.05 berbanding 1.04 pada Sabtu.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. - Bernama