Iran tanggung ramai pelarian Afghanistan, perlu sokongan antarabangsa

Iran sedang bergelut dengan kemasukan besar-besaran pelarian dari Afghanistan sejak Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos. Foto AFP
Iran sedang bergelut dengan kemasukan besar-besaran pelarian dari Afghanistan sejak Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Iran sedang bergelut dengan kemasukan besar-besaran pelarian dari Afghanistan sejak Taliban mengambil alih Kabul pada Ogos, dengan beratus-ratus ribu lagi dijangka tiba pada musim sejuk akan datang, kata Duta Besarnya ke Malaysia, Ali Asghar Mohammadi.

Beliau berkata, beribu-ribu pelarian Afghanistan yang berada di negara-negara jiran termasuk Iran amat memerlukan bantuan kemanusiaan terutamanya makanan, pakaian dan ubat-ubatan dan dengan itu sokongan antarabangsa amat diperlukan.

“Kami dalam situasi yang sangat sukar. Masyarakat antarabangsa harus datang membantu kerana sejak empat dekad yang lalu, meskipun mengalami tekanan yang sangat besar akibat sekatan (ekonomi), kami melindungi lebih tiga juta pelarian Afghanistan.

“Kami memberi subsidi kepada rakyat Afghanistan. Ketika ini, terdapat lebih 500,000 pelajar Afghanistan di Iran, dan lebih 25,000 daripada mereka menuntut di universiti,” katanya semasa perbincangan meja bulat bersama media Malaysia, di sini, baru-baru ini.

Menurut Majlis Pelarian Norway (NRC) pada Rabu, seramai 300,000 warga Afghanistan telah menyeberang ke Iran sejak Ogos dengan 4,000 hingga 5,000 orang melintas sempadan setiap hari.

Mohammadi turut mengalu-alukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia untuk bekerjasama dengan Iran dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian Afghanistan.

Beliau berkata, Iran boleh menyediakan kemudahan, pengetahuan dan maklumat kepada NGO Malaysia.

“Kami membantu membawa keluar kumpulan perubatan Malaysia yang terkandas di Afghanistan sebelum ini. Minggu ini kita akan membawa satu lagi kumpulan ke Afghanistan melalui Iran. Kami memberi kemudahan dan mengeluarkan visa untuk mereka.

Artikel Berkaitan:

“Bagi Afghanistan, ia satu isu yang akan berlarutan. Kita perlu bekerjasama, kerana saya tahu warga Malaysia dan NGO sangat berminat untuk membantu rakyat Afghanistan, seperti dalam isu Palestin," katanya.

Mengenai kerajaan Taliban, beliau berkata, Iran konsisten dengan pendiriannya berhubung nasib rakyat Afghanistan yang harus ditentukan sendiri oleh rakyatnya dan kerajaan yang ditubuhkan berdasarkan aspirasi mereka.

Mohammadi berkata, Iran juga menggesa pembentukan kerajaan inklusif di Afghanistan yang menjamin hak semua etnik dan agama.

Taliban kini bertanggungjawab ke atas apa sahaja yang berlaku di Afghanistan, keselamatan, jaminan hidup dan ekonomi. Mereka meminta pengiktirafan, tetapi pengiktirafan perlu diberi selepas mereka membuktikan dengan kerajaan inklusif dan yang mereka mampu mentadbir negara dengan cara yang betul,” katanya.

Mengenai konflik Palestin-Israel, Mohammadi berkata, menyokong perjuangan Palestin adalah antara prinsip paling berharga dalam dasar luar Iran.

Beliau menegaskan, menjadi tugas dan tanggungjawab negara-negara Islam untuk menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk pembebasan dan pembentukan negara merdeka, dan menyeru negara-negara Islam yang memulakan hubungan dengan Israel untuk mengkaji semula dasar mereka.

“Bagaimana kita boleh menerima keadaan yang berlaku setiap hari di Tebing Barat, di Gaza? Pendirian dan dasar kami tetap sama dan tidak akan berubah,” katanya sambil menambah Iran tidak menentang Yahudi kerana negara itu adalah tuan rumah kepada komuniti Yahudi terbesar di luar Israel. - Bernama