PRK Simpang Jeram: BN-PH lancar gerakan besar-besaran dekati rakyat

Azman Ismail
Azman Ismail
A
A
A

MUAR - UMNO Bahagian Bakri tidak akan melakukan perkara yang merugikan atau menjejaskan peluang Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada 9 September nanti.

Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkata, pihaknya bertekad membantu calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan bertanding sekali gus memastikan mereka menang PRK tersebut.

"Calon Amanah dijangka akan berhadapan satu lawan satu dengan calon dari Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas serta bakal berhadapan laluan getir selepas melihat gelombang hijau yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 melibatkan enam negeri pada 12 Ogos lalu.

"Melihat situasi ini, kita akan melancarkan gerakkan secara besar-besaran mendekati masyarakat setempat bagi memberikan penerangan hala tuju kerajaan dalam membangunkan negara dan rakyat khasnya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata, satu pertemuan dengan kepimpinan di bawah Kerajaan Perpaduan dalam Parlimen Bakri sudah diadakan bagi membincangkan gerak kerja yang akan dilakukan bermula selepas hari penamaan calon pada 26 Ogos nanti.

Menurutnya, UMNO bahagian yakin apa yang berlaku dalam PRN enam negeri baru-baru ini berlainan suasana politiknya berbanding PRK di Simpang Jeram nanti.

"Isu bakal dibangkitkan adalah berbeza dan perlu diatasi dengan lebih baik ketika majlis penerangan bersama rakyat nanti," ujar beliau.

Dalam PRN Johor lalu, Amanah yang diwakili oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub memperolehi 8,749 undi iaitu menang dengan majoriti 2,389 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zarul Salleh apabila hanya mendapat 6,360 undi manakala calon BN, Datuk Lokman Md. Don memperolehi 6,062 undi.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Salahuddin meninggal dunia meninggal dunia pada 23 Julai lalu.