Kadar penggunaan katil ICU di Terengganu membimbangkan

Kasemani diberi penerangan tentang penggunaan katil ICU Hybrid semasa Majlis Penyerahan ICU Hybrid kepada HSNZ, Kuala Terengganu pada Jumaat.
Kasemani diberi penerangan tentang penggunaan katil ICU Hybrid semasa Majlis Penyerahan ICU Hybrid kepada HSNZ, Kuala Terengganu pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ) mencatatkan kapasiti 100 peratus melibatkan pesakit Covid-19 susulan peningkatan kes yang dilaporkan sejak dua minggu lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, lebih membimbangkan apabila berlakunya kenaikan pesakit Covid- 19 bagi kategori lima yang memerlukan rawatan rapi.

Menurutnya, peningkatan kes di negeri ini ketara selepas Terengganu beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan rentas negeri dibenarkan.

"Dalam situasi ini, kami mengambil inisiatif mengguna semula beberapa wad yang ditukarkan kepada ICU di mana sebelum ini kita mempunyai 33 katil ICU di seluruh negeri ini.

"Tiga hari lalu, kapasiti katil ICU mencatatkan 100 peratus tetapi hari ini menurun kepada 84 peratus dengan 28 kes merupakan pesakit kategori lima, " katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan ICU Hybrid kepada HSNZ, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, peningkatan jumlah kes Covid-19 sedikit merisaukan, namun lega kerana bilangan katil di ICU HSNZ bertambah kepada 44 katil dengan kemudahan terbaharu, ICU hybrid yang menempatkan 10 katil pesakit.

Beliau berkata, dengan adanya ICU Hybrid yang dijangka beroperasi pada minggu hadapan sedikit sebanyak dapat menampung jumlah penggunaan katil ICU di negeri ini.

Terengganu kini merekodkan 223 kes baharu Covid-19 sehingga Khamis dengan enam kematian sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif sebanyak 72,122 kes.

Artikel Berkaitan:

Kasemani berkata, ICU hybrid yang dibangunkan dengan kos RM3.2 juta itu akan beroperasi bermula minggu depan untuk menampung jumlah pesakit Covid-19.

Dalam perkembangan sama, beliau membaritahu sebanyak 63 kes varian membimbangkan (VOC) dikesan di negeri ini membabitkan Delta dan Beta.