X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Kes Covid-19 meningkat, 6,517 hari ini

Foto fail Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kes baharu Covid-19 pada Jumaat meningkat kepada 6,517 kes berbanding 6,323 kes pada Khamis, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sebanyak 6,517 kes sembuh turut dicatatkan berbanding 5,337 kes pada Khamis.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini (Jumaat), 125 kes atau 1.9 peratus melibatkan kategori tiga, empat dan lima (melibatkan radang paru-paru, bantuan oksigen dan bantuan pernafasan), manakala baki 6,392 kes atau 98.1 peratus lagi adalah daripada kategori satu dan dua (tidak bergejala dan bergejala ringan),” katanya pada sidang akhbar mengenai perkembangan Covid-19, di sini pada Jumaat.

Dr Noor Hisham berkata, 544 kes kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 269 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan.

Selain itu, menurutnya sembilan kluster baharu dicatatkan menjadikan jumlah kluster aktif kini 286, manakala nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara juga sedikit meningkat kepada 1.0, lebih kurang lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, secara umumnya, situasi penularan Covid-19 di Malaysia adalah baik, namun tetap dalam fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik.

Katanya, kes harian, kes sembuh dan kes kematian mulai menurun sekitar minggu epidemiologi (ME) ke-36, selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), yang bermula 24 Februari lepas.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga Khamis, lebih 75.7 peratus atau 24,730,649 penduduk Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin dengan 95.1 peratus atau 22,258,551 daripadanya adalah individu dewasa.

“Vaksinasi Covid-19 secara besar-besaran telah berjaya menurunkan jumlah kes dan kadar kemasukkan ke hospital,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!