'Jawatan TPM dari Sabah, kita tunggu PRU16 nanti' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika hadir pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Sukau, Kinabatangan dan Keusahawanan Luar Bandar 2024 di Dataran Tamu, Sukau.
Ahmad Zahid ketika hadir pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Sukau, Kinabatangan dan Keusahawanan Luar Bandar 2024 di Dataran Tamu, Sukau.
A
A
A

KINABATANGAN - Jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diberikan kepada Datuk Seri Fadillah Yusof bukan sahaja mewakili Sarawak tetapi portfolio itu adalah untuk mengkordinasikan semua program di Sabah.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telahpun mempertimbangkan perkara itu sedalam-dalamnya sebelum keputusan dibuat bagi melantik Timbalan Perdana Menteri bagi mewakili Sabah dan Sarawak.

"Apa yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, seorang Timbalan Perdana Menteri yang mewakili Sabah dan Sarawak dan pelantikan Datuk Seri Fadillah bukan sahaja mewakili Sarawak tetapi sebenarnya portfolio yang diberikan kepada beliau adalah untuk mengkordinasikan semua program untuk Sabah dan juga Sarawak.

"Jadi ini adalah suatu perkara yang telah difikirkan semasak-masaknya oleh Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sentuhan Kasih Desa Sukau, Kinabatangan dan Keusahawanan Luar Bandar 2024 di Dataran Tamu di Sukau di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan pihak tertentu yang mahu pelantikan membabitkan jawatan Timbalan Perdana Menteri datang dari Sabah.

Ditanya lanjut adakah jawatan itu perlu diwujudkan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meminta tunggu Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan terlebih dahulu.

"Kita tunggulah PRU yang 16 nanti," katanya ringkas.

Sementara itu, ditanya agenda mesyuarat UMNO yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada malam Khamis, beliau yang juga Presiden UMNO memaklumkan ada pelbagai isu akan disentuh termasuk soal Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Tiap kali saya turun ke Sabah, pasti akan mengadakan mesyuarat langsung dan mesyuarat tidak langsung dengan kepimpinan UMO Sabah.

"Ianya meliputi banyak isu dan mungkin soal pilihan raya ini sama ada akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan tetap akan kita sentuh untuk kita bincangkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!