MEDAC rancang perkasa koperasi sekolah

Noh (dua dari kanan) bersama Megat Zulkarnain (kiri) dan Anismah (kanan) membuat gimik perasmian Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 yang berlangsung di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada Khamis.
Noh (dua dari kanan) bersama Megat Zulkarnain (kiri) dan Anismah (kanan) membuat gimik perasmian Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 yang berlangsung di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) merancang untuk memperkasakan koperasi sekolah di seluruh negara bagi melahirkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, budaya keusahawanan perlu dibentuk sejak di peringkat sekolah dan koperasi dilihat mampu menjadi platform terbaik bagi pelaksanaan itu.

Beliau berkata, dalam menjayakan usaha itu, MEDAC dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bersama-sama berusaha bagi membuat perancangan dalam memperkasakan koperasi terlibat.

"Kalau sejak peringkat sekolah pelajar sudah ada semangat keusahawanan, maka budaya makan gaji akan menjadi soal kedua.

"Kita mungkin boleh perkasakan dengan memberi sumbangan atau peruntukan-peruntukan tertentu untuk galakkan perkembangan koperasi sekolah di negara ini," katanya sewaktu sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Prestij Pembelajaran Negeri Selangor 2021 yang berlangsung di Hotel Mardhiyyah, di sini pada Khamis.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengarah Pendidikan Selangor, Anismah M. Noh.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program itu, Noh berkata, MEDAC menerusi YBR memberi tajaan berjumlah RM300,000 kepada 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor bagi membantu melancarkan pelaksanaan inisiatif tersebut.

"Setiap PPD menerima tajaan berjumlah RM30,000 bagi melaksanakan program-program holistik dalam meningkatkan prestasi pelajar sekolah di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, pelaksanaan program itu juga dapat membantu meningkatkan motivasi dan profesionalisme guru-guru melalui aktiviti sokongan di peringkat PPD.

"Tajaan melalui program ini turut diharap dapat membantu meringankan bebanan ditanggung guru-guru dalam meningkatkan kualiti pendidikan mereka," katanya.