Panggil semula pekerja hotel yang diberhentikan: Aminuddin

Aminuddin (tengah) mendengar taklimat Sistem Pengurusan Linen daripada pengurus projek di sebuah hotel di Port Dickson pada Isnin.
Aminuddin (tengah) mendengar taklimat Sistem Pengurusan Linen daripada pengurus projek di sebuah hotel di Port Dickson pada Isnin.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan menyarankan kepada pengusaha hotel di negeri ini supaya mengambil semula pekerja yang diberhentikan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia sebagai menghargai pengorbanan bekas pekerja hotel yang ada dalam kalangan mereka memilih untuk berhenti secara sukarela bagi membantu pihak hotel mengurangkan kos operasi.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan pekerja yang berlaku di kebanyakan hotel pada masa kini.

"Kita sedia maklum isu yang telah berlaku kini adalah pengurusan hotel tidak dapat menampung 100 peratus permintaan pelanggan kerana tidak cukup kakitangan.

"Ini kerana, ada dalam kalangan pekerja sebelum ini yang ditamatkan perkhidmatan, berhenti secara sukarela, malah ada juga memilih berkhidmat dalam industri lain," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Sistem Pengurusan Linen di sebuah hotel di sini pada Isnin.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri difahamkan bahawa pengusaha hotel sukar mendapatkan pekerja baharu yang berpengalaman sehingga memberi suatu tekanan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan terdapat pengusaha hotel yang terpaksa menolak tempahan pelanggan.

"Ini sesuatu yang merugikan sedangkan sektor perhotelan kini sedang meningkat naik semula," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Beliau sehubungan itu menyarankan mereka yang sedang mencari pekerjaan terutama golongan muda supaya memilih kerjaya dalam industri perhotelan.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, tempahan hotel di Negeri Sembilan pada setiap hujung minggu menunjukkan perkembangan baik terutama di Port Dickson.

"Kehadiran pengunjung ke negeri ini memang luar biasa. Apa yang membanggakan kita, tempahan bilik untuk hari bekerja iaitu Isnin hingga Jumaat juga mencecah 60 ke 65 peratus.

"Ini menunjukkan masyarakat menyokong usaha pelancongan domestik. Kita berharap perkara ini dapat mengurangkan kesan kewangan kepada syarikat," katanya.