Kepakaran Pasukan Senoi Praaq masih diperlukan

Anggota Polis Gerakan Am Senoi Praaq yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Gambar hiasan
Anggota Polis Gerakan Am Senoi Praaq yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Khidmat Pasukan Senoi Praaq masih diperlukan memendangkan mereka mempunyai kepakaran eksklusif di hutan belantara termasuk melibatkan operasi di hutan seperti mencari dan menyelamat serta memburu penjenayah di dalam hutan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) berkata, pasukan ini juga adalah pasukan simpanan sebagai persediaan sekiranya berlaku lagi ancaman insurgensi terutamanya melibatkan kawasan hutan.

Disebabkan itu katanya, kerajaan masih mencari anggota yang bersesuaian bagi mengisi kekosongan jawatan bagi Konstabel Polis Gred YP1 Orang Asli (Lelaki) Tahun 2021yang berjumlah 94 kekosongan.

“Eksesais Pengambilan Jawatan Konstabel Polis Gred YP1 Orang Asli (Lelaki) bagi tahun 2021 telah dilaksanakan 05 September 2021 hingga 23 September 2021. Seramai 142 orang calon telah memohon jawatan tersebut. Hasil daripada eksesais tersebut, seramai 47 orang calon telah sesuai temu duga lisan.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menggunakan Skim Perkhidmatan Pegawai Rendah Polis Dan Konstabel Orang Asli di dalam Arahan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 2016 Bertarikh 7 April 2016 berkuatkuasa 1 Julai 2016 (Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) yang bertanyakan situasi keperluan keanggotaan Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq ketika ini dan adakah kerajaan berhasrat untuk melonggarkan syarat kelayakan bagi pengambilan anggota PGA ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, kepentingan Pasukan Senoi Praaq pada masa sekarang antara lain adalah kerana kepakaran mereka sebagai penjejak di hutan sekiranya operasi di hutan belantara, baik operasi keselamatan mahupun operasi mencari dan menyelamat.

“Sifat semula jadi pasukan ini yang taat kepada ketua dan tugas yang diamanahkan amat berguna dalam pasukan polis.

Artikel Berkaitan:

“Selaku pasukan mempunyai kemahiran di hutan, pasukan ini ditugaskan untuk membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan dan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di hutan-hutan simpan Semenanjung Malaysia seperti Op Bersepadu Khazanah.

“Pasukan ini juga mampu menggalas tugas dengan cemerlang dalam banteras jenayah rentas sempadan di sempadan negara terutama di sempadan Malaysia-Thailand bagi kawasan negeri Kedah dan Perlis,” jelasnya.

Tambahnya, semangat juang, integriti, kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan Senoi Praaq amat menggerunkan penyeludup di kawasan sempadan dan melalui usaha berterusan pasukan ini melakar kejayaan dalam mengesan dan menangkap penjenayah yang terlibat dalam aktiviti barangan kontraban.