Penyertaan bukan bumiputera dalam Kor Sispa masih rendah

Mastura (tengah) menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik pada Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kebangsaan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 di UMP Kampung Gambang pada Ahad
Mastura (tengah) menyampaikan anugerah kepada pelatih terbaik pada Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kebangsaan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 di UMP Kampung Gambang pada Ahad
A
A
A

KUANTAN - Penyertaan kaum bukan bumiputera dalam Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor Sispa) masih rendah iaitu di bawah 5 peratus daripada 6,090 penuntut yang ditauliahkan.

Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab berkata, faktor utama golongan itu kurang berminat menyertainya disebabkan kurang pendedahan mengenai APM.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 96 hingga 97 peratus penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara yang menyertai Kor Sispa terdiri daripada penuntut Melayu dan bumiputera.

"Kita akui bilangan kaum bukan bumiputera terlibat dengan APM masih rendah. Namun sebagai langkah menanganinya, kita telah melantik 30 ke 40 peratus pegawai bersekutu dalam kalangan bukan bumiputera.

"Jadi, kita berharap, pegawai bersekutu yang dilantik dapat menarik mahasiswa dan mahasiswi bukan bumiputera menyertai APM. Ini kerana kita memerlukan juga mereka (kaum bukan bumiputera) untuk membantu khususnya ketika menghadapi bencana," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pentauliahan dan Perhimpunan Kebangsaan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Kampung Gambang pada Ahad.

Seramai 870 pegawai kadet Kor Sispa dari 24 IPT dan satu Institusi Pendidikan Guru menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda.

Hadir pada majlis itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid; Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengarah APM Pahang, Che Adam Abdul Rahman.

Artikel Berkaitan:

Roslan berkata, majlis pentauliahan Kor Sispa ini mampu memberikan satu pengiktirafan kepada usaha penuntut yang bertungkus lumus menyertai pasukan beruniform.

Jelasnya, ia selari dengan lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mahu melahirkan mahasiswa seimbang dari segi akademik, kokurikulum dan insaniah.

Sementara itu, Mastura berkata, Kor Sispa adalah satu platform yang sangat tepat dalam membina karakter diri mahasiswa dan mahasiswi.

"APM kini telah diiktiraf dan diberi tanggungjawab besar dengan menjadi agensi tonggak dalam inisiatif pengurusan pengurangan risiko bencana berasaskan komuniti," katanya.