Derita tulang belakang bengkok

Nurul Balqis (kanan sekali) bersama ibunya ketika menerima lawatan Anili (tiga kiri).
Nurul Balqis (kanan sekali) bersama ibunya ketika menerima lawatan Anili (tiga kiri).
A
A
A

KUALA NERUS - Keluarga seorang remaja di sini buntu memikirkan masa depan dan cabaran yang terpaksa ditanggung remaja terbabit susulan mengidap penyakit tulang belakang bengkok.

Nurul Balqis Nadirah Zulkifli, 14, menghidap penyakit tulang belakang bengkok sejak berusia sembilan tahun, yang sebelum itu mempunyai kehidupan ceria seperti remaja normal seusianya.

Walaupun tidak pernah menyalahkan takdir dan menganggap ia ujian ALLAH SWT namun jauh di sudut hati ibunya, Hazlilda Jamilah Manoor mahu anak keduanya itu dapat pulih semula.

“Nurul Balqis mengalami masalah tulang belakang yang bengkok sejak berumur sembilan tahun dan dia pernah melakukan pembedahan bagi merawat penyakitnya itu pada 10 Disember 2018.

“Masalah tulang belakang bengkok juga menyebabkan tulang rusuk anak saya menghimpit peparunya dan mengalami sesak nafas hingga memaksa dia banyak berehat sahaja di rumah,” katanya.

Ibu kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman itu berkata demikian ketika menerima lawatan isteri Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datin Anili Ramli ke rumahnya di sini, semalam.

Anili mengetuai program lawatan berkenaan bersama pegawai Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus dan pegawai nstitut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs), Dun Seberang Takir.

Kini Nurul Balqis kini hanya mampu berehat di rumah kerana faktor kesihatannya yang tidak begitu stabil untuk menjalani kehidupan sebagai pelajar walaupun semangat ke sekolah tidak pernah pudar.

Artikel Berkaitan:

Namun, keceriaan jelas terpancar pada raut wajahnya apabila ada pihak yang sudi menjenguk mereka dan bertanya khabar dalam keadaan mereka yang memerlukan sokongan moral itu.

Sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan turut disalurkan melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus kepada keluarga Nurul Balqis sempena program lawatan ke Dun Seberang Takir.

​​​​​​