X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

'Kami dah penat keluarkan air'

Raja Yusuf Shah bersama isterinya, Siti Nurul Aini Mohd Salim, 35, mengeringkan lantai rumah mereka yang dinaiki air pada awal pagi Jumaat.
A
A

TELUK INTAN - Penduduk di Kampung Batak Rabit, di sini, mengeluh kerana terpaksa berulang kali membersihkan rumah mereka yang dinaiki air selama tiga hari akibat fenomena air pasang.

Seorang penduduk Lorong Pinang, Kampung Batak Rabit, Raja Yusuf Shah Raja Sulaiman, 35, berkata, banjir yang melanda rumah mereka berlaku disebabkan limpahan air Sungai Perak.

Menurutnya, keadaan paling teruk berlaku pada awal pagi Jumaat apabila air setinggi o.6 meter masuk ke dalam rumah pada jam 5.30 pagi.

"Sebab dah tiga hari, saya dan isteri cuma keluarkan air sebab tahu air akan masuk semula.

"Kerja-kerja membersihkan rumah hanya akan dibuat selepas keadaan benar-benar pulih selepas air pasang besar ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut Raja Yusuf Shah, semua barang-barang termasuk peti sejuk, motosikal dan barangan elektrik lain diletakkan di bahagian atas di rumah tersebut.

Katanya, banjir kemungkinan tidak berlaku jika ban dibina semula bagi mengekang limpahan air masuk ke kawasan penduduk.

Bagi seorang lagi penduduk, Syazali Shaari, 32, dia bersama ahli keluarga lain bertungkus lumus membuat persiapan dan membersihkan rumah.

Syazali menunjukkan paras air yang melimpah masuk ke rumahnya di Lorong Kalat, Kampung Batak Rabit, di sini, pada Jumaat.
Syazali menunjukkan paras air yang melimpah masuk ke rumahnya di Lorong Kalat, Kampung Batak Rabit, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, adik beradik yang tinggal di kawasan berhampiran termasuk yang berada di Sungai Besar, Selangor turut pulang membantu mengemas rumah akibat banjir.

Katanya, banjir sebelum ini kerap kali berlaku namun kali ini naik paling tinggi disebabkan air pasang besar.

"Masa awal pagi tadi, bukan sahaja rumah ini yang tenggelam, tapi jalan ke kampung ini juga tak nampak.

"Kami sebenarnya dah tak larat nak hadapi masalah ini setiap tahun. Kami harap sangat pihak berkaitan ambil langkah segera tangani banjir disebabkan air pasang ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil maklum tentang situasi banjir kilat yang melanda penduduk di beberapa kawasan di sekitar Teluk Intan akibat fenomena air pasang besar.

Katanya, masalah ini sudah dibangkitkan beberapa kali di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sejak penggal lalu namun tindakan diambil agak perlahan.

Menurutnya, kira-kira RM40 juta diperlukan untuk mengatasi masalah banjir kilat yang disebabkan limpahan air Sungai Perak di sekitar kawasan Teluk Intan.

Kata Mohd Azhar, pelaksanaan projek tebatan banjir bernilai RM30 juta berhampiran Kampung Batak Rabit sebelum ini telah dijalankan namun berdepan beberapa isu dan terpaksa ditangguh kerana perlu direka bentuk semula.

"Kami tidak pernah terlepas pandang tentang isu ini malah berkali-kali dibangkitkan dalam Sidang DUN untuk diberi perhatian bukan sahaja di Kampung Batak Rabit tetapi beberapa kawasan berisiko banjir.

"Komitmen agensi berkaitan sangat diperlukan dalam memastikan projek tebatan banjir ini dapat disiapkan dengan segera. Mereka juga perlu adakan sesi penerangan kepada penduduk mengenai perkembangan projek supaya penduduk tidak tertanya-tanya," katanya.

Mohd Azhar berkata, selain pelan jangka masa panjang melalui projek tebatan banjir itu, penyelesaian jangka pendek juga perlu dirangka bagi mengelak kejadian banjir lebih buruk.

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan kunci air dan menaikkan paras ban antara yang boleh dilakukan sementara bagi mencegah banjir menjadi lebih buruk.

Katanya, kebanyakan penduduk berdepan kerugian besar akibat kerosakan harta benda susulan banjir kilat tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!