Projek terbengkalai kampus UPSI di Teluk Intan diteruskan

Kor Ming menyerahkan duit raya kepada tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri daerah Hilir Perak di Dewan Bandaran Teluk Intan pada Jumaat.
Kor Ming menyerahkan duit raya kepada tetamu yang hadir sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri daerah Hilir Perak di Dewan Bandaran Teluk Intan pada Jumaat.
A
A
A

TELUK INTAN - Pembinaan kampus cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Teluk Intan yang tertangguh sejak 2017 akan diteruskan dengan peruntukan lebih besar.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM130 juta berbanding anggaran kos sebelum ini RM120 juta.

Menurutnya, satu pertemuan telah dibuat dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan mendapat persetujuan penuh kementerian itu untuk diteruskan.

"Saya sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin dan beliau bersetuju meneruskan pembinaan UPSI Cawangan Teluk Intan.

"Jadi projek ini akan dihidupkan semula dengan nilai RM130 juta. Proses tender semula akan dilakukan pada bulan ini juga," katanya semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri daerah Hilir Perak di Dewan Bandaran Teluk Intan pada Jumaat.

Kor Ming menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan membabitkan peruntukan keseluruhan RM48,000.
Kor Ming menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada 24 masjid di kawasan Parlimen Teluk Intan membabitkan peruntukan keseluruhan RM48,000.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, keputusan meneruskan projek berkenaan adalah bukti komitmen kerajaan untuk terus memberikan khidmat bakti yang terbaik tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Ini sesuai dengan apa yang disarankan Malaysia Madani agar setiap sen yang dibelanjakan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat," katanya.

Projek pembinaan UPSI di atas tapak seluas 32 hektar di Batu 4, Jalan Changkat Jong di sini adalah projek Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang telah dirancang pada tahun 2011.

Pengumummannya dibuat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014.

Pembinaan projek berkenaan sebelum ini menjadi tanda tanya berikutan tapak sedia ada telah dinaiki semak tebal selain bangunan terbengkalai.