Ops Sarang Khas: 47 pengedar, penagih dadah ditahan

Mazlan (tengah) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di IPD Jerantut, pada Rabu.
Mazlan (tengah) menunjukkan hasil rampasan pada sidang akhbar di IPD Jerantut, pada Rabu.
A
A
A

JERANTUT - Ops Sarang Khas yang menyasarkan kawasan Felda khususnya di daerah ini berjaya menahan 47 individu termasuk dua wanita yang dijalankan sejak 30 Oktober hingga 1 November lalu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, kesemua mereka yang ditahan adalah kalangan pengedar dan penagih dadah berusia antara 19 hingga 52 tahun.

Menurutnya, sebanyak 38.12 gram dadah jenis syabu, heroin (57.66 gram), pil yaba (5.14 gram), kodein (0.18 gram) air ketum seberat liter dirampas membabitkan nilai keseluruhan RM9,000.

"Turut disita harta pengedar dadah melibatkan empat buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan tiga motosikal iaitu Yamaha Y15, Yamaha 125Z dan Honda WW.

"Operasi ini tertumpu di lokasi pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Felda dan serbuan rumah ke rumah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut pada Rabu.

Ujarnya, semakan mendapati seramai 20 individu memiliki rekod kesalahan jenayah lampau dan dikategorikan sebagai penagih dadah berulang.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan operasi akan diteruskan berdasarkan maklumat diperoleh untuk memastikan aktiviti dadah Jerantut terkawal dan menjamin keharmonian penduduk," tambahnya.

Dalam pada itu, Mazlan turut memberitahu, sepanjang Januari hingga September 2021, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Jerantut berjaya membuat tangkapan seramai 498 individu terdiri daripada pengedar dan penagih dadah.

Artikel Berkaitan:

Nilai rampasan pelbagai jenis dadah pula adalah sebanyak RM133,900 dan jumlah sitaan harta pengedar dadah bernilai RM142,426.

"Dalam tempoh sama, seramai 33 penagih telah diambil tindakan pertuduhan di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mempunyai rekod kesalahan berulang melibatkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta boleh disebat maksimum tiga sebatan," jelasnya.