Penyertaan empat anggota wanita perkukuh SMART

Wirawati pasukan SMART (dari kiri) Nur Fitrah Amirah Sohaidi, Avlyanie Moidi, Noor Farhana Ismail dan Nurul Fatin Fazlin Bazeli merupakan penuntut wanita yang berjaya menamatkan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART hari ini.- Foto Bernama
Wirawati pasukan SMART (dari kiri) Nur Fitrah Amirah Sohaidi, Avlyanie Moidi, Noor Farhana Ismail dan Nurul Fatin Fazlin Bazeli merupakan penuntut wanita yang berjaya menamatkan Kursus Khas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Siri 1/2021 di Markas Pasukan SMART hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kaum hawa kini turut menganggotai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang didominasi golongan lelaki lelaki sejak penubuhannya pada 1995 dengan penyertaan empat anggota baharu wanita dalam pasukan elit itu.

Avlyanie Moidi, Noor Farahana Ismail, Nurul Fatin Fazlin Bazeli dan Nur Fitrah Amirah Sohaidi adalah empat daripada 24 peserta yang menamatkan Kursus Khas SMART selama lima minggu bermula 18 September lepas dengan cemerlang bagi membolehkan mereka menganggotai pasukan elit itu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, tidak ada kuota gender dalam pemilihan anggota SMART kerana ia dibuat berdasarkan keupayaan.

Bercakap kepada media pada majlis penutupan Kursus Khas SMART Siri 1/2021 di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini pada Selasa, beliau berkata, penyertaan keempat-empat wanita akan memantap dan memberi nilai tambah kepada pasukan SMART.

"Kami juga suka ada pegawai wanita dalam SMART sebab ada perkara tertentu yang memerlukan sentuhan wanita seperti mengendalikan makcik-makcik atau wanita mengandung.

"Dalam operasi penyelamatan, perkara yang ada batasan adat, di situ anggota wanita boleh datang membantu. Itu satu kelebihan," katanya.

Nurul Fatin Fazlin, yang sebelum ini bertugas dengan Pasukan Polis Marin di Pelabuhan Klang berkata, peserta wanita menjalani ujian dan latihan sama seperti peserta lelaki dan perlu lulus ujian kelayakan seperti ujian ketinggian, gelap, melihat darah atau mayat sebelum layak menyertai Kursus Khas SMART.

Wanita berusia 25 tahun itu berkata, minat dalam aktiviti lasak mendorong beliau menyertai pasukan SMART walaupun tugas hakikinya sebelum ini hanya melibatkan kerja-kerja pentadbiran, jauh berbeza dengan peranan pasukan penyelamat tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya suka mencuba bidang baharu ini," katanya yang akan memainkan peranan serupa dengan anggota lelaki dalam tugas menyelamat mangsa bencana tanpa ada diskriminasi mahupun keistimewaan.

Bagi Avlyanie yang sebelum ini bertugas di Unit Anjing Pengesan (K9) di Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jalan Klang Lama, keputusan menyertai SMART adalah untuk membuktikan kemampuan wanita dalam melakukan tugasan yang biasanya dibuat oleh lelaki.

"Saya juga ingin tahu sejauh mana saya boleh pergi sekiranya saya tidak berputus asa dalam mengikuti segala cabaran, apa yang lelaki boleh buat wanita pun boleh buat," kata anak kelahiran Sabah berumur 24 tahun itu.

Beliau juga berkata, sepanjang latihan diadakan, peserta wanita tidak diberi layanan istimewa dan perlu menghabiskan modul yang ditetapkan sama seperti peserta lelaki.

Lans Koperal Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Noor Farahana, 33, pula berkata, jiwanya yang suka membantu individu dalam kesusahan mendorong beliau menyertai SMART.

Tidak pernah menyertai sebarang operasi penyelamatan di agensi asalnya sebelum ini, beliau berkata: "Setiap kali melihat operasi menyelamat, timbul minat untuk membuat perkara yang sama. Sebab itu saya sendiri dengan sukarela menghantar permohonan untuk menyertai Kursus Khas SMART ini."

"Boleh selamatkan orang, itu satu kepuasan bagi saya, " katanya yang berasal dari Perak.

Erry Putra, seorang pelakon yang turut menyertai kursus itu berkata, keputusan beliau untuk merasai jerit perih latihan SMART adalah bagi mendapatkan ilham dan idea untuk filem terbaharunya yang berkisarkan tentang pasukan penyelamat tersebut.

Beliau berkata, syarikatnya produksinya Erry Putra Production bercadang menerbitkan filem itu dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Saya mahu memperkenal kepada masyarakat apa itu SMART kerana masih ramai lagi di luar sana yang tidak mengenali pasukan penyelamat ini," katanya yang menyifatkan Kursus Khas SMART sebagai sangat sukar. - Bernama