PRK: Pengalaman hidup sejak kecil dekatkan Nazri dengan masyarakat

Nazri - Foto Bernama
Nazri - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Pengalaman hidup dan sering terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan serta amal bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendorong Nazri Abdul Rahman, bakal calon Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk terus mencurah bakti berkhidmat kepada masyarakat.

Nazri, 56, berkata, semenjak kecil lagi, beliau telah melihat permasalahan dihadapi masyarakat sekeliling kerana bapanya merupakan ketua kampung dan hal itu membuatkan dirinya ingin terus membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Kata bapa kepada enam cahaya mata itu, seawal usianya belasan tahun lagi, beliau telah terlibat dalam kerja-kerja sukarelawan dan amal bersama beberapa NGO yang masih diteruskan sehingga kini.

"Niat saya hanyalah untuk membantu terutama mereka yang berada di peringkat akar umbi, pada saya, kesusahan yang dihadapi mereka adalah kesusahan bersama dan ia perlu dibantu.

"Dalam bidang politik pula, saya mula bergiat aktif ketika usia 20-an yang bermula sebagai ahli biasa sahaja dan tujuan saya adalah untuk membela kebajikan rakyat,” kata Nazri yang dipilih Parti Amanah Negara (Amanah) untuk bertanding pada PRK itu kepada Bernama baru-baru ini.

Anak jati Simpang Jeram itu berkata, antara permasalahan yang menjadi agenda utama untuk diperjuang ialah membangunkan ekonomi penduduk setempat dan mencari jalan penyelesaian kepada banjir kilat yang sering melanda kawasan itu.

Nazri yang juga seorang jurutera berkata, sekiranya diberi peluang menjadi wakil rakyat di situ, antara perkara utama yang akan dilaksanakan ialah memperbaiki sistem saliran dan perparitan agar banjir kilat yang sering ‘menghantui’ penduduk setempat tidak lagi berulang.

"Saya akan menggunakan pengalaman saya sebagai seorang jurutera (di Majlis Perbandaran Muar) untuk mengatasi masalah itu terutama di sekitar pekan Bakri.

Artikel Berkaitan:

"Perkara kedua yang akan saya lakukan adalah membantu penduduk setempat memperbaiki ekonomi mereka dengan pembinaan kawasan perniagaan baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan melalui sektor industri termasuk industri kecil sederhana (IKS).

"Saya juga tidak akan melupakan perkara asas iaitu berkaitan dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, golongan yang memerlukan akan dibantu daripada setiap aspek serta berusaha mengeluarkan mereka daripada ‘kepompong’ kemiskinan, begitu juga mereka yang mengalami masalah kesihatan kronik, bantuan bagi meringankan beban akan disalurkan,” katanya.

Bagi meneruskan legasi penyandang kerusi DUN Simpang Jeram iaitu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Nazri berkata, beliau akan sentiasa mengamalkan konsep ‘turun padang’ bagi mendekati rakyat.

Dua perkara yang diingati beliau dan akan diteruskan adalah memastikan setiap rumah dalam kawasan itu mempunyai makanan serta membantu keluarga juga waris sekiranya berlaku kematian.

"Kaunter aduan khas berkaitan bantuan asas (makanan) akan saya teruskan dan saya juga akan membantu daripada segi menguruskan kematian serta menyediakan perkhidmatan makanan bermasak secara percuma untuk majlis kenduri tahlil (hari pertama) bagi meringankan beban keluarga si mati.

"Selain itu, jika diberikan tanggungjawab untuk meneruskan legasi ini... saya akan teruskan setiap perancangan yang dibuat oleh Arwah (Salahuddin) agar pembangunan yang direncana dapat berjalan dengan baik,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai ditetapkan Sabtu ini disusuli undi awal pada 5 September dan hari pengundian pada 9 September. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Nazri teruskan rancangan Salahuddin jika dipilih wakil rakyat

Nazri tekad bawa suara 40,379 pengundi di Simpang Jeram

PRK: Suhaizan, Nazri calon PH Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

PRK: Suhaizan sedia teruskan perjuangan Salahuddin di Pulai