KPLB sasar bina kilang lateks terbesar

Wan Rosdy (empat dari kiri) bersama Abdul Rahman (tiga dari kiri) ketika majlis penyerahan dividen yang berjaya dikumpul sebanyak RM88,000.
Wan Rosdy (empat dari kiri) bersama Abdul Rahman (tiga dari kiri) ketika majlis penyerahan dividen yang berjaya dikumpul sebanyak RM88,000.
A
A
A

LIPIS - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyasarkan untuk membina sebuah kilang lateks terbesar bagi meningkatkan lagi hasil pekebun kecil di negara ini.

Timbalan Menteri 1 Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia juga salah satu usaha dalam mencapai sasaran supaya pekebun kecil memperoleh pendapatan isi rumah RM4,500 sebulan menjelang 2025.

Menurutnya, perkara itu dilihat tidak mustahil berikutan peruntukan sebanyak RM508 juta untuk pembangunan luar bandar terhadap Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) menerusi Bajet 2022.

"Buat masa ini, pembinaan kilang lateks dalam proses perbincangan selepas selesai lawatan di sebuah kilang di Sabah.

"Mungkin perkara ini boleh jadi kenyataan dengan peruntukan lebih yang diberikan selain Risda sendiri adalah sebuah agensi memiliki kedudukan kewangan yang baik.

"Dengan pembinaan kilang lateks ini, ia dapat menawarkan peluang pekerjaan selain dapat menawarkan harga belian lebih baik terhadap pekebun kecil," katanya pada sidang akhbar di Dewan Dato Haji Wan Rosdy di Kampung Tanjung Gahai di sini pada Sabtu.

Wan Rosdy (tiga dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Depo Lateks/Skrap dan Penyerahan Dividen Agropolitan Gahai Risda Pahang sambil diperhatikan Abdul Rahman (kiri), pada Sabtu.
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Depo Lateks/Skrap dan Penyerahan Dividen Agropolitan Gahai Risda Pahang sambil diperhatikan Abdul Rahman (kiri), pada Sabtu.

Beliau ditemui sempena Majlis Perasmian Depo Lateks/Skrap dan Penyerahan Dividen Agropolitan Gahai Risda Pahang yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Risda, Abdullah Zainal.

Abdul Rahman berkata, buat masa ini terdapat 56 buah depo lateks di seluruh negara dengan 14 daripadanya dibuka di Pahang.

"Selain itu, KPLB memiliki lima projek Agropolitan yang diuruskan oleh Risda iaitu di Chemomoi, Bentong selain di Gahai, Pahang; Ganda, Gerik di Perak; Gunung Sadong, Ulu Awik di Betong dan Rascom Nanga Sekua, Sibu, Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, sebanyak RM88,000 dividen telah dikumpul bermula Januari hingga September 2021 yang mana RM56,000 telah dibayar kepada 80 peserta terlibat di Agropolitan Gahai.

Pada majlis tersebut, Risda mengagih lebihan dividen berkenaan dalam bentuk wang tunai sebanyak RM400 seorang membabitkan jumlah keseluruhan,RM32,000.

Bagi mewujudkan pemasaran berkelompok, memendekkan rantaian pemasaran serta mendapatkan harga terbaik jualan getah kepada peserta di Agropolitan Gahai ini, Risda turut membina depo lateks di mana nilai hasil jualan setakat September 2021 sebanyak RM146,073.82.

Dalam majlis sama, Wan Rosdy turut menyampaikan bakul makanan kepada 100 penerima dan sumbangan zakat korporat daripada Yayasan Risda.