Penjawat awam enggan ambil vaksin dikenakan tindakan mulai esok

Bermula esok, kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan.
Bermula esok, kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan.
A
A
A

BERMULA esok, 1 November 2021, kerajaan bakal mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam yang tidak mengambil vaksin tanpa sebarang alasan kesihatan.

Berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Menurut pekeliling tersebut, langkah berkenaan diambil bertujuan untuk memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.

Pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan.

JPA sebelum itu dalam kenyataannya pada 30 September lalu telah menetapkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19 dan mereka dikehendaki untuk segera melengkapkan vaksinasi sebelum 1 Novmber 2021.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

JPA turut memaklumkan seramai 16,902 atau 1.6 peratus penjawat awam belum mendaftar bagi mendapatkan pelalian berkenaan setakat 30 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin pada Sabtu memaklumkan terdapat kira-kira 2,000 guru di seluruh negara yang masih belum bersedia menerima vaksin Covid-19.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kumpulan guru terbabit agar tidak menyalahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sekiranya kerajaan mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.

Mohamad Alamin berkata, sebagai penjawat awam, guru juga tertakluk kepada peraturan di bawah JPA.