JKN siasat dakwaan pelajar maut selepas vaksin kedua

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang meninggal dunia selepas sehari menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, pelajar berkenaan ditemui dalam keadaan sesak nafas dan tidak sedarkan diri di rumah pada 24 Oktober lalu iaitu sehari selepas suntikan vaksin tersebut.

Menurutnya, mangsa telah dibawa ke sebuah hospital swasta di Ipoh untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia pada hari yang sama jam 10.40 pagi.

"Bedah siasat telah dijalankan dan mendapati terdapatnya penyempitan saluran paru-paru.

"Kesemua sampel tisu dalam badan telah dihantar bagi pemeriksaan lanjut oleh Pakar Perubatan Forensik Patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, laporan bedah siasat itu dikategorikan masih belum lengkap kerana terdapat keputusan uji kaji yang belum diterima.

"Pihak kami masih menunggu laporan bedah siasat yang lengkap bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Jelasnya, remaja berkenaan telah menerima vaksin Covid-19 dos yang kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat pada 23 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, remaja itu dimaklumkan tidak mempunyai sebarang alahan terhadap vaksin atau ubat sebelumnya dan tidak diketahui mempunyai sebarang penyakit kronik.

"Remaja itu juga tidak memaklumkan sebarang masalah atau komplikasi selepas menerima suntikan dos pertama," katanya.