Jentera PH diarah patuhi SOP ketat PRN Melaka

Pakatan Harapan (PH) mengarahkan seluruh jenteranya untuk mematuhi SOP ketat PRN Melaka. Foto Bernama
Pakatan Harapan (PH) mengarahkan seluruh jenteranya untuk mematuhi SOP ketat PRN Melaka. Foto Bernama
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Pakatan Harapan (PH) mengarahkan seluruh jenteranya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun membantah pilihan raya itu diadakan.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, SOP akan dipatuhi kerana pelaksanaan pilihan raya itu boleh mendatangkan risiko kepada rakyat dan kemungkinan meningkatkan angka positif Covid-19.

Katanya, sebelum ini PH menyuarakan kegelisahan dan bantahan mereka tentang proses PRN Melaka berikutan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Yang di-Pertua Negerinya.

"Pembubaran tidak sepatutnya berlaku. Apabila berlaku boleh menimbulkan pula bencana lain selepas ditetapkan cara, kaedah atau SOP pilihan raya.

"Jadi walaupun kita bantah, kita tidak ada pilihan dan akan mematuhi peraturan yang ketat itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Pada 24 Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) membuat ketetapan untuk melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November depan.

Beliau berkata, larangan itu dibuat selepas pemantauan KKM mendapati terdapat parti politik termasuk UMNO gagal mematuhi SOP seperti di beberapa majlis kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR itu berkata, disebabkan perkara itu sidang akhbar berkaitan PRN Melaka berkenaan diadakan di Ibu Pejabat PKR dan tidak dilakukan di Melaka.

Katanya, beberapa pelancaran yang telah dirancang juga dibatalkan.

Sementara itu, Guan Eng meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pendirian dalam pelaksanaan SOP bagi PRN Melaka itu.

"Apa sahaja SOP yang diputuskan secara muktamad perlu dilaksanakan sehingga tamat proses pilihan raya. Kalau nak buat, buat sampai habis atau kalau nak longgar, longgarlah ikut Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"Kalau perkara ini tidak diputuskan ia akan membawa kemudaratan yang lebih besar lagi," katanya.

Berikutan itu, beliau berharap tiada pihak cuba mempengaruhi keputusan SPR.

"Kita dengar banyak ura-ura mereka (ada pihak) akan buat lagi (peraturan baharu) tanpa rundingan dengan parti politik terlebih dahulu.

"Ini sekali lagi menunjukkan bahawa ada kuasa yang mempengaruhi perjalanan pilihan raya oleh SPR sekaligus kebebasan dan keadilan SPR ini boleh dipertikaikan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu menegaskan, PH masih menanti dan berada dalam keadaan ragu mengenai kaedah pilihan raya.

"Kalau nak buat ikut fasa empat PPN buatlah, kalau tidak, ikutlah SOP. SPR perlu memberikan penerangan jelas," katanya.