Jangan persoal keputusan ujian DNA, Musa tegur bapa Nurin Jazlin

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jangan persoalkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA), kata Tan Sri Musa Hassan yang merupakan Ketua Polis Negara ketika kejadian kes pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin, 14 tahun lalu.

Katanya, ini kerana hasil ujian DNA mangsa adalah 99.99 peratus sepadan dengan sampel darah kedua-dua ibu dan bapanya, yang dijadikan bukti saintifik mengukuhkan kanak-kanak itu adalah anak kepada pasangan terbabit.

Menurutnya, keputusan itu tidak akan berubah sekalipun ujian DNA yang kedua dilakukan.

"Ini kes lama, polis masih mencari penjenayah itu, polis telah menjalankan siasatan dan mengenal pasti identiti mangsa menerusi ujian DNA.

"Keputusan ujian DNA terbukti dia adalah mayat kanak-kanak itu (Nurin Jazlin) setelah dipadankan dengan kedua-dua ibu dan bapanya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Musa menjelaskan, keputusan ujian DNA dikeluarkan oleh pakar dan bukan dilakukan oleh pasukan polis.

"Mengapa waktu siasatan dulu tidak pertikai dan sekarang baru hendak bangkitkan isu ini," soalnya.

Menurutnya, kes pembunuhan Nurin Jazlin adalah sebahagian daripada çold cases yang masih belum selesai.

Artikel Berkaitan:

Katanya, polis tidak akan menutup mana-mana kes seumpama itu dan fail boleh dibuka semula sekiranya ada maklumat atau petunjuk baharu.

Ditanya mengenai gesaan bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat kes anaknya itu, beliau berkata, itu terpulang kepada beliau, kerana polis sudah menjalankan siasatan mengikut maklumat-maklumat yang sedia ada sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memberitahu, pihaknya telah mengambil keterangan Jazimin kira-kira pukul 2 petang, Khamis selepas satu laporan polis dibuat terhadapnya mengenai dakwaan ada maklumat baharu berhubung kejadian.

Baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan Jazimin sehingga kini tetap berpendirian mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui pada pagi 17 September 2007 dalam sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya, Selangor, bukan anaknya.

Beliau mendakwa, ia antara lain disebabkan saiz gigi yang berbeza, tahi lalat hidup di paha dan ketiadaan parut suntikan pelalian Bacillus Calmette–Guerin (BCG). - Awani