Eksport pertanian ke Singapura meningkat 44 peratus

Ronald (kiri) ketika lawatan kerja di Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Jumaat.
Ronald (kiri) ketika lawatan kerja di Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar di sini pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Jumlah transaksi eksport barangan pertanian sehingga Oktober 2021 dari Malaysia ke Singapura mencatatkan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, jumlah itu melibatkan hampir dua juta tan metrik barangan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan telah dieksport ke Singapura dengan nilai anggaran sebanyak RM3.43 bilion.

"Terdapat peningkatan transaksi eksport iaitu sebanyak 44 peratus berbanding tempoh sama pada 2020.

"Jumlah transaksi eksport ini juga dijangka terus meningkat sehingga 15 peratus pada penghujung tahun 2021," katanya ketika lawatan kerja dan pemantauan operasi import eksport produk pertanian di Kompleks Kastam dan Imigresen Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini, pada Jumaat.

Ronald Kiandee berkata, pihaknya juga mendapati perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 2020 lalu juga tidak menunjukkan kesan secara langsung terhadap eksport negara apabila transaksi ke negara jiran itu terus meningkat.

"Transaksi eksport ke Singapura dari pintu masuk ini (BSI) menunjukkan peningkatan daripada 56,610 transaksi pada 2019 kepada 125,151 transaksi bagi tahun 2020 iaitu bersamaan dengan 121 peratus.

"Selain transaksi eksport, bagi tempoh sama jumlah kuantiti barangan yang dieksport juga meningkat daripada 279,218 metrik tan kepada 364,012 metrik tan.

"Kita juga sedang menjangkakan kenaikan sama pada tahun ini apabila setakat Oktober sahaja sebanyak 393,189 metrik tan kuantiti barangan sudah dieksport ke Singapura," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan terus mempertingkatkan kawalan dan penguatkuasaan di sempadan khususnya pintu-pintu masuk negara.

Katanya, usaha itu bagi memastikan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan serangga perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara.