Dua sekolah diarah tutup

Aminolhuda (kanan) bersama Sahruddin (dua, kanan) ketika melawat mangsa di HSI, hari ini.
Aminolhuda (kanan) bersama Sahruddin (dua, kanan) ketika melawat mangsa di HSI, hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor mengarahkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih ditutup sementara.

Ia susulan kes pencemaran bahan kimia yang dipercayai dibuang secara haram di Sungai Kim Kim yang berada berhampiran dua-dua sekolah berkenaan.

Exco Pendidikan dan Agama Negeri Johor, Aminolhuda Hassan berkata, arahan penutupan sekolah terbabit akan dilaksanakan sehingga keadaan benar-benar terkawal.

“Penutupan sekolah ini akan melibatkan lebih 1,600 pelajar termasuk guru dan staf sokongan.

"Kita arahkan semua pelajar pulang dan sekolah ditutup buat sementara waktu sehingga kes ini dapat dikawal," katanya ketika ditemui semasa melakukan lawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, hari ini.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Sahruddin Jamal berkata, jumlah terkini mangsa yang terjejas akibat insiden itu meningkat kepada 30 orang.

"Pihak kami setakat ini menerima 30 mangsa berusia antara tujuh hingga 40 tahun yang mana 21 dirawat di HSI, enam dirawat di Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan tiga ditempatkan di Klinik Kesihatan Penawar.

"Dua mangsa iaitu pelajar sekolah dan pekerja kantin diberi bantuan pernafasan selepas mereka mengalami sesak nafas dan muntah-muntah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sahruddin berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam ada ternampak sebuah lori tangki membuang sisa buangan berjadual di kawasan pembinaan jambatan di Sungai Kim Kim pada malam kelmarin.

Jelasnya, bahan buangan itu kemudiannya mengalir ke arah hilir sungai sejauh 1.5 kilometer daripada tempat sisa buangan dibuang.

"Sepanjang sungai ini terdapat dua buah sekolah iaitu SMK Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan Pasir Putih.

"Pelajar-pelajar mula mengadu terhidu bau gas dan muntah-muntah kira-kira jam 9 pagi sebelum mereka diarahkan berkumpul di kawasan padang sekolah,” katanya.