Banjir kilat: 260 mangsa dipindahkan ke empat PPS di Selangor

Penduduk di Taman Dataran Abadi dipindahkan dengan bot bomba ke PPS Surau Abadi.
Penduduk di Taman Dataran Abadi dipindahkan dengan bot bomba ke PPS Surau Abadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka berikutan banjir kilat melanda negeri ini yang mengakibatkan penempatan penduduk dinaiki air pada pagi Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, empat penempatan itu ialah di PPS Surau Abadi, Sepang; PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Hamzah, PPS Bukit Tampoi Dengkil dan Balai Raya Kampung Salak Tinggi.

Menurutnya, seramai 260 mangsa sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 5.30 pagi.

"Sehingga kini, seramai 200 mangsa di Taman Dataran Abadi, Kampung Labu Lanjut sudah dipindahkan ke PPS Surau Abadi, Sepang.

"Seramai 31 mangsa ditempatkan di PPS SMK Dato Hamzah manakala di PPS Bukit Tampoi pula seramai 12 mangsa serta seramai 17 lagi mangsa dipindahkan ke Balai Raya Kampung Salak Tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Norazam berkata, mangsa di PPS Surau Abadi dipindahkan berikutan kejadian ban pecah menyebabkan berlaku limpahan air di Sungai Labu setinggi 1.2 meter.

"Kira-kira 100 rumah penduduk dinaiki air dan mereka telah keluar dari rumah masing-masing sebelum paras air meningkat.

"Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membantu proses pemindahan mangsa dengan keadaan paras air masih tidak menunjukkan sebarang perubahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rumah penduduk di Taman Dataran Abadi dinaiki air berikutan hujan berterusan sehingga Khamis.
Rumah penduduk di Taman Dataran Abadi dinaiki air berikutan hujan berterusan sehingga Khamis.

Beliau berkata, mangsa di SMK Dato Hamzah dipindahkan berikutan limpahan air sedalam 1.8 meter melibatkan sebanyak 15 rumah penduduk.

"Selain itu, sebanyak empat rumah membabitkan 12 mangsa di Jalan Sungai Melut, Tasik Seberang dinaiki air setinggi 1.2 meter.

"Hujan lebat menyebabkan limpahan air di kawasan itu dan kami berjaya membantu menyelamatkan mangsa yang terperangkap dengan memindahkan mereka ke PPS Bukit Tampoi," jelasnya.

Ujar beliau, keadaan sama membabitkan 17 mangsa di Jalan Haji Mustafa, Kampung Salak Tinggi.

"Kejadian limpahan air akibat hujan berterusan itu menyebabkan tiga rumah penduduk terjejas dan keadaan air ketika ini masih belum surut," katanya.

Jelas beliau, terdapat dua rumah di Jalan Bata Bukit Kemuning dinaiki air menyebabkan kesemua penghuni terpaksa dipindahkan sementara di rumah saudara terdekat.

Selain itu katanya, sebanyak empat lagi kawasan dinaiki air, bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan ke PPS.

"Empat kawasan itu ialah di Taman Melawis, Kota Raja; Persiaran Bukit Raja 2 Klang; jalan berhampiran stesen komuter Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi dan Jalan Melikai Hujung, Kampung Raja Uda," katanya.