'Jika ada maruah, Guan Eng perlu letak jawatan'

Wakil parti berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Wakil parti berhimpun di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng didesak meletak jawatan sebagai menteri kanan selepas kenyataannya yang dianggap rasis telah mengguris hati semua pihak termasuk golongan bukan Melayu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebagai menteri kanan iaitu Menteri Kewangan, beliau tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang digambarkan mewakili kaum bukan Melayu.

Bahkan katanya, kenyataan Guan Eng itu dilihat hanya sebagai menzahirkan DAP sebagai parti rasis.

"Saya percaya bila beliau (Guan Eng) sebut kenyataan sedemikian, beliau tidak mewakili orang Cina dan India. Beliau hanya bercakap rasis, hanya menzahirkan selama ini DAP memang rasis.

"Kalau beliau ada maruah dan sayangkan negara, menghormati kepelbagaian kaum di Malaysia, beliau harus memohon maaf dan letak jawatan. Beliau tidak layak menjadi seorang menteri kanan," katanya hari ini.

Beliau sebelum itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, jam 12.15 tengah hari tadi.

No Image Caption

Bersama beliau membuat laporan polis adalah Ketua Pemuda MIC, R Thinalan; Ahli Jawatan Kuasa Pemuda Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Shahir Abu Hasan; Setiausaha Agung MCA, Daniel Wa; Ketua Pemuda Makkal Sakti, A Manimaran; Ketua Pemuda Barisan Kemajuan India Malaysia, Jhoell Harriyson dan wakil daripada Berjasa.

Artikel Berkaitan:

Asyraf yang mewakili kesemua mereka berkata, beliau mendesak Guan Eng disiasat mengikut Akta Hasutan 1948.

"Kami buat laporan polis terhadap Guan Eng yang mana telah mengeluarkan kenyataan, bagi kami berunsur hasutan dan amat bahaya dalam suasana masyarakat kita yang majmuk, berbilang agama dan kaum.

"Benar beliau adalah Setiausaha Agung DAP, beliau juga adalah menteri kanan yang tidak seharusnya nengeluarkan kenyataan seperti menghasut, meniupkan perasaan marah, benci sesama agama dan sesama kaum," katanya.

Kelmarin, UMNO dan Pas secara rasminya mengadakan pertemuan bersama bagi membincangkan hala tuju dan garis panduan kerjasama dua parti terbesar Melayu itu.

Mesyuarat perundingan yang berlangsung di ibu pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur itu turut dihadiri barisan pimpinan kedua-dua parti.

Guan Eng kemudiannya mendakwa kerjasama itu seperti UMNO dan Pas mengisytihar 'perang' terhadap golongan bukan Melayu.

Selepas teruk menerima kecaman netizen, Guan Eng kemudiannya menukar kenyataannya itu.

Pelbagai pihak turut menuntut Guan Eng disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan kontroversinya itu.

Dalam pada itu Asyraf berkata, sekurang-kurangnya 100 laporan polis dibuat hari ini bagi mendesak polis membuat siasatan dan tindakan.

Pada masa sama katanya, sekiranya Guan Eng enggan memohon maaf, satu perhimpunan aman bakal diadakan untuk mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggugurkan Guan Eng daripada Kabinet.