Suami isteri tidak mengaku salah tipu jual beli emas

Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Jumaat.
Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Jumaat.
A
A
A

KUALA PILAH - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas 22 pertuduhan menipu jual beli emas membabitkan kerugian RM25,812.05 antara Februari hingga Mac lalu.

Tertuduh, Muzi Musa, 51, merupakan warga tempatan dan isterinya, Nining Febriani Lubis, 41, warga Indonesia membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut kesemua pertuduhan, kedua-dua tertuduh telah bersama-sama menipu seorang wanita untuk membuat urusan jual beli barang kemas dengan curangnya telah mendorong wanita berkenaan untuk memasukkan sejumlah RM25,812.05 ke dalam akaun bank CIMB, Muzi Musa mengikut tarikh dan masa yang berlainan yang mana mangsa tidak akan melakukannya sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di antara tarikh 16 Februari hingga 28 Mac lalu bertempat di Lorong Patin Taman Sungai Emas,Tampin.

Pertuduhan ke atas pasangan ini dilakukan mengikut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Mohd Kassim dari Tetuan Bahar Rusnan & Associates.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Hakim turut mengarahkan tertuduh wanita menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan bagi tertuduh lelaki pula perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis terdekat.

Artikel Berkaitan:

Sekiranya gagal menjelaskan wang jaminan tertuduh akan dipenjara.