Tengku Zafrul, Belanjawan 2022 jadi tumpuan

Tengku Zafrul. -Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
Tengku Zafrul. -Foto Sinar Harian/ MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

MEMASUKI pertengahan Oktober, sudah pasti sosok tubuh seorang lelaki yang bergelar Menteri Kewangan akan menjadi tumpuan media, rakyat, penjawat awam, pimpinan parti dan ramai lagi.

Individu yang dimaksudkan sudah tentulah Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang sebelum ini seorang pelabur dan tokoh korporat telah dilantik ke dalam kabinet sewaktu pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 9 Mac 2020.

Ketika pergolakan politik melanda dan pentadbiran negara bertukar tangan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul kembali diberi kepercayaan menggalas jawatan penting itu.

Menariknya, tahun pertama menjadi Menteri Kewangan, beliau berdepan cabaran terbesar merancang belanjawan negara walaupun baru sahaja menjawat jawatan itu, malah terpaksa berdepan cabaran merancang perbelanjaan dalam keadaan negara bergelut dengan Covid-19.

Kali kedua menjadi Menteri Kewangan, negara masih dalam krisis kesihatan dan ekonomi, jadi beliau perlu berhati-hati dan diharap dapat mengatur strategi perbelanjaan yang lebih dinamik, praktikal dan memberi keutamaan kepada keperluan rakyat.

Bersandarkan tiga tunjang utama Belanjawan 2022 iaitu melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan, diharap dapat memberi nafas baharu serta kelegaan buat setiap sektor yang terjejas teruk serta kehidupan rakyat khasnya.

Usaha Tengku Zafrul mengadakan beberapa siri rundingan dan pertemuan dengan pelbagai pimpinan parti politik termasuk pembangkang bagi mendapat pandangan dan input untuk merancang Belanjawan 2022 sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober ini nampaknya mendapat sokongan semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Menerusi wawancara eksklusif dalam program Bersama terbitan Sinar Harian, Tengku Zafrul sekali lagi menegaskan, kandungan Belanjawan 2022 menumpukan usaha untuk melindungi kehidupan rakyat dan usaha pemulihan negara.

Adakah itu petanda bahawa jawatan pengurusan kewangan pada masa hadapan perlu diberikan kepada bukan ahli politik? Adakah hanya ahli politik yang boleh memperjuangkan hak rakyat atau sebaliknya?