Taman Eko Rimba Tupah tidak selamat untuk aktiviti rekreasi

Sisa runtuhan dan pokok tumbang yang masih belum dialihkan di lokasi tragedi kepala air dekat Taman Eko Rimba Tupah di Merbok Kedah.
Sisa runtuhan dan pokok tumbang yang masih belum dialihkan di lokasi tragedi kepala air dekat Taman Eko Rimba Tupah di Merbok Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Sebarang aktiviti rekreasi seperti berkelah, berbasikal, mendaki, dan seumpamanya di Taman Eko Rimba Tupah adalah tidak dibenarkan atas faktor keselamatan.

Pegawai Hutan Daerah Kedah Tengah, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Mohd Aizat Arippin berkata, keputusan itu buat memandangkan masih terdapat sisa kayu merbahaya yang berada di dalam sungai terbabit dan kini sedang dalam tindakan pengalihan.

Menurutnya, kehadiran pengunjung dikhuatiri terdedah kepada risiko kemalangan berikutan terdapat sisa runtuhan selain kebimbangan terhadap kejadian tanah runtuh yang boleh berlaku pada bila-bila masa semasa waktu hujan.

"Penutupan ini secara tidak langsung dapat menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai daripada kejadian yang tidak diingini.

Runtuhan tanah dan batu di laluan masuk ke Taman Eko Rimba Tupah di Merbok akibat tragedi kepala air 18 Ogos lalu.
Runtuhan tanah dan batu di laluan masuk ke Taman Eko Rimba Tupah di Merbok akibat tragedi kepala air 18 Ogos lalu.

"Justeru, JPNK berharap agar orang awam akur dengan penutupan TER Tupah demi kebaikan bersama," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Aizat berkata, pengumuman pembukaan semula akan dibuat pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Beliau berkata, penutupan itu juga melibatkan kesemua Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri di seluruh Kedah yang kini berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Pada 18 Ogos lalu, Taman Eko Rimba Tupah di Merbok menjadi antara salah satu lokasi terjejas akibat tragedi kepala air melibatkan Hutan Simpan Gunung Jerai di daerah Kuala Muda dan Yan sehingga meragut enam nyawa.