'Perjelas status Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah'

Lim (empat dari kiri) bergambar bersama selepas menghantar surat permohonan janji temu berkenaan di pintu masuk Pejabat SUK Selangor pada Rabu.
Lim (empat dari kiri) bergambar bersama selepas menghantar surat permohonan janji temu berkenaan di pintu masuk Pejabat SUK Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Rimba Komuniti Shah Alam (SACF) menggesa agar satu pertemuan dapat diatur bersama kerajaan Selangor bagi membincangkan mengenai status Hutan Simpan Kekal Bukit Cherakah (HSKBC) di Seksyen U10, di sini.

Wakil SACF, Teckwyn Lim berkata, pihaknya menuntut penjelasan itu susulan beberapa kekeliruan berhubung status penyahwartaan hutan berkenaan yang dibangkitkan menerusi kenyataan Exco Pelancongan dan Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian pada bulan lalu.

Menurut Lim, lakaran peta pewartaan PW1443 yang dinyatakan sebagai bukti sebelum ini juga tidak menemukan sebarang maklumat bagi mengesahkan proses penyahwartaan tersebut pernah dilaksanakan.

"Kami berpandangan adalah lebih jika kami dapat bertemu dengan exco bagi membincangkan isu ini secara terperinci.

"Kami berharap agar pihak terlibat dapat memberi janji temu awal supaya kekeliruan ini dapat diselesaikan pada kadar segera," katanya selepas menyerahkan surat permohonan janji temu berkenaan kepada wakil pejabat exco di pintu masuk Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor, pada Rabu.

Dalam pada itu, Lim berkata, menerusi Enakmen Perhutanan Selangor 1985, sebarang penyahwartaan hutan simpan kekal (HSK) wajib diterbitkan melalui proses pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Selangor.

Katanya, SACF tidak menyalahkan mana-mana pihak namun mereka hanya ingin memastikan hutan berkenaan terus kekal terpelihara.

"Kami mendesak agar kerajaan negeri mengeluarkan arahan henti kerja di kawasan terlibat sehingga penyelesaian terhadap isu ini diputuskan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada September lalu, Loy Sian memaklumkan projek pembangunan berhampiran Bukit Cherakah dan Hutan Komuniti Shah Alam berada di luar kawasan HSK.

Menurut Loy Sian, kawasan HSK yang paling hampir dengan pembangunan itu adalah HSKBC dan Hutan Simpan Bukit Cherakah Tambahan.

Beliau memberitahu, hutan simpan ini telah dinyah warta beberapa kali sejak 1976 bagi tujuan pembangunan seperti Bandar Puncak Alam, Alam Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dan lain-lain.

"Kini, Hutan Simpan Bukit Cherakah yang masih kekal adalah seluas 1,298.86 hektar dan masih diuruskan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dalam kelas Hutan Perlindungan," katanya.