Sertai ICC: Usaha kerajaan tangani isu jenayah antarabangsa

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyokong tindakan kerajaan menyertai Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata, penyertaan itu memberikan platform perundangan tambahan untuk memberi keadilan kepada mangsa-mangsa pencabulan hak asasi manusia.

"ICC berperanan sebagai sebuah mekanisme bagi menangani isu-isu berkaitan jenayah antarabangsa yang mana jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan di bawah bidang kuasa Rome Statut.

"Justeru, tindakan kerajaan jelas melambangkan komitmen negara dalam memastikan keamanan dilindungi dan keadilan serta hak-hak asasi ditegakkan tanpa kompromi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, Suhakam secara konsisten menyokong penyertaan Statut Rome sejak 2005 bagi tujuan meningkatkan pemahaman mengenai kepentingan peranan ICC dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia serta kedaulatan undang-undang di Malaysia.

"Misalnya, insiden penemuan kubur di Wang Kelian yang mempunyai implikasi rentas sempadan bagi pelaksanaan keadilan dalam isu-isu berkenaan.

"Kini, kesejagatan hak asasi manusia menerusi instrumen seperti ICC boleh membawa Malaysia dan negara jiran ke hadapan dalam isu-isu yang mencabar," ujarnya.

Selain itu, Razali turut menyarankan kerajaan mengadakan sesi libat urus bersama Suhakam dan pihak berkepentingan lain bagi tujuan merangka syor-syor untuk meminda undang-undang tempatan bagi mematuhi keperluan Statut Rome.

Artikel Berkaitan: