Kerajaan tangani isu air di Kelantan, Sabah walau belanja besar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dewan De' Seri Endon, Puspanitapuri hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan sedia melakukan anjakan dalam perancangan bagi mengatasi masalah air yang berlarutan di Kelantan dan Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan perancangan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan belanjawan Madani sebelum ini, ia mengambil masa yang lama.

Menurutnya, rundingan telah dibuat bersama dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, selain turut dipersembahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bahawa tanggungjawab mengurus bekalan air akan diambil alih oleh kerajaan persekutuan walaupun ia menelan belanja yang besar.

"Ini tiada dalam rancangan kita, yang ini kita kena ubah suai," katanya dalam ucapan majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi Mei di sini pada Isnin.

Beliau berkata, keputusan itu bukan dibuat berdasarkan politik namun sebaliknya ia merupakan dasar Kerajaan Malaysia Madani.

"Ada juga (perbincangan) dengan Kedah tetapi Kedah susah (untuk) berunding sikit," katanya.

Anwar berkata, satu perbincangan akan diadakan di peringkat Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kedua-dua negeri tersebut.

“Banyak perbincangan yang Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan saya pengerusikan. Itu kena anjakan besar,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut menekankan hal-hal kemudahan asas seperti jalan berlubang dan berlopak di sesetengah bandar juga perlu diselesaikan dengan peruntukan RM1 bilion telah disalurkan tahun ini.

“(Dalam mengatasi hal kemudahan asas), penjawat awam perlu berganjak sedikit daripada perencanaan atau pengubalan dasar,” katanya.