Johor tubuh task force tangani isu sampah flat

Mohd Jafni
Mohd Jafni
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor menerusi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan menubuhkan task force bagi menangani isu berhubung rumah pangsa kos rendah yang dipenuhi sampah.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, satu mesyuarat akan diadakan pada Rabu dengan dikoordinasikan oleh Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Hafiz Ahmad berhubung penubuhan task force berkenaan.

Menurutnya, flat di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA) antara yang tertua di Johor di mana ia dibina pada 1985 dengan 44 blok dan 4,085 unit rumah.

"Antara aduan yang terima adalah mengenai kerosakan bumbung, pendawaian, sistem paip dan lain-lain.

"Task force ini akan pergi ke kawasan paling daif dan kita akan tengok mana isu yang lebih penting untuk diselesaikan," katanya ketika meninjau keadaan rumah flat di kawasan berkenaan.

Pada Isnin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan perasaan kecewa terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini.

Dalam hantaran di Facebook, baginda bertitah, kebanyakan flat kos rendah di Johor berada dalam keadaan daif serta dipenuhi pelbagai sampah sarap yang dibuang merata-rata hingga menjadi tempat pembiakan serangga berbisa.

Sementara itu Mohd Jafni berkata, pihaknya telah berbincang untuk mengadakan Kempen Johor Bersih di kawasan berkenaan hujung minggu ini.

Katanya, semua penduduk di situ diharap dapat memberi kerjasama untuk menyertai kempen berkenaan yang akan bermula pada 8 pagi.