Semalaman tahan sakit dipatuk ular ketika banjir

Sharifah Nor Siti Jamaliah menunjukkan bahagian jari kakinya yang dipatuk ular.
Sharifah Nor Siti Jamaliah menunjukkan bahagian jari kakinya yang dipatuk ular.
A
A
A
KUALA KRAI - Kesan luka dipatuk ular pada ibu jari kaki kanan kian pudar, namun ingatan seorang wanita terhadap tragedi yang nyaris meragut nyawa di pusat pemindahan banjir Manek Urai tidak pernah padam.

Sharifah Nor Siti Jamaliah Syed Yaacob, 56, berkata, masih jelas di ingatannya bagaimana kakinya secara tiba-tiba berdarah dalam kejadian pada Disember 2014 itu.

Menurutnya, ketika itu dia sedang berehat di Klinik Kesihatan Manek Urai yang dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.

"Secara tiba-tiba terasa sengal, lalu saya sentuh kaki dan terasa seperti ada air.

"Masa tu ada yang membantu menyuluh ke kaki dan alangkah terkejutnya bila lihat kaki berdarah dan ketika itu juga kelihatan seekor ular berhampiran tempat duduk saya," katanya.

Sharifah Nor Siti Jamaliah berkata, waktu itu kesemua penduduk berada di pusat pemindahan.

"Ada yang menghubungi pihak keselamatan untuk mendapatkan bantuan membawa saya ke hospital tetapi keadaan tidak mengizinkan.

"Jadi saya terpaksa menahan sakit sehingga keesokan paginya," katanya.

Menurutnya, keesokan pagi pihak keselamatan memberitahu dia perlu diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.
Artikel Berkaitan:


Katanya, dia perlu dibawa ke sana kerana kemudahan lengkap tambahan Hospital Kuala Krai mula dinaiki air.

"Helikopter bawa saya mendarat di Dataran Chintawangsa, dari situ saya dibawa menaiki bot dan saya hanya dirawat di hospital di sini," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Zahari Ibrahim, 63, tidak bersamanya kerana sedang membantu mangsa banjir bersama pasukan keselamatan.

"Ketika itu Tuhan saja tahu, sedih terpaksa sendirian ke hospital tambahan kami tidak dapat berhubung kerana talian telefon tidak dapat digunakan.

"Semasa di hospital pula, generator digunakan kerana elektrik tidak ada, kawasan hospital pula digenangi air," katanya.