Kerajaan tubuh jawatankuasa siasat dakwaan Tommy Thomas

Tommy
Tommy
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kabinet turut bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas khas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

Menurutnya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula akan bertindak sebagai urusetia.

“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Pada Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya menerima 134 laporan terhadap Tommy berhubung penerbitan buku biografinya yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.

Turut membuat laporan polis adalah bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mendakwa bahawa Tommy telah memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.

Selain itu, buku tersebut dipercayai turut mendedahkan beberapa perkara berkaitan isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim, campur tangan melampau pihak eksekutif dalam bidang pengadilan, pendakwaan terpilih dan bersifat politik.

Artikel Berkaitan:

Menerusi buku tersebut, Tommy juga didakwa telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatannya dan turut melakukan pelanggaran etika untuk melobi jawatan peguam negara.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim pada Isnin lalu di Parlimen turut meminta kerajaan supaya menyemak semula 15 kes yang didakwa digugurkan ketika Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.