KKD tubuh Pasukan Petugas laksanakan dwirangkaian 5G

Fahmi Fadzil - Foto Bernama
Fahmi Fadzil - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersetuju untuk membentuk sebuah Pasukan Petugas (Task Force) bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB).

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan rangkaian tersebut bakal mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung 2023 dan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar pada awal 2024.

“Task Force ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD serta diurusetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Task Force akan turut dianggotai oleh pihak DNB dan pihak penyedia perkhidmatan termasuklah Celcom Digi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications (YTL) dan U-Mobile serta pihak-pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada 8 Mei, KKD mengadakan pertemuan dengan ketua pegawai eksekutif (CEO) atau wakil syarikat-syarikat telekomunikasi bagi melaksanakan rangkaian 5G melalui Digital Nasional Berhad (DNB) sehingga tahap capaian 80 peratus di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

Menurut Fahmi, ia bagi memastikan peralihan rangkaian ini dapat menyelesaikan isu perkongsian rangkaian telekomunikasi.

“Matlamat utama Task Force ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan,” katanya.